Persatuan Ain menerima suntikan dana $160,000 bagi pusat jagaan hariannya yang baru di Eunos Crescent, khusus untuk kanak-kanak yang mengalami barah.
SINGAPURA: Persatuan Ain menerima suntikan dana $160,000 bagi pusat jagaan hariannya yang baru di Eunos Crescent, khusus untuk kanak-kanak yang mengalami barah.
Ini didedahkan badan itu hari ini (16 Okt) dalam sebuah majlis makan malam amal yang dihadiri tetamu terhormat Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.
Sumbangan cek daripada tujuh badan berasingan itu diserahkan kepada Encik Gan bersama-sama para wakil Persatuan Ain di majlis berkenaan.
Mengulas tentang pusat baru itu, Persatuan Ain menyatakan ia bertujuan menyediakan sekitaran yang sesuai bagi pembangunan kanak-kanak yang menghidapi penyakit barah.
Selain daripada itu, ibu bapa yang menghidapi barah boleh meletakkan anak-anak mereka di sana semasa mereka menjalani rawatan, atau inginkan waktu rehat atau jika mereka perlu masa untuk mencari pekerjaan.
Penubuhan pusat jagaan kanak-kanak itu merupakan sebahagian daripada pengubahsuaian operasinya, memandangkan ia kini mengendalikan lebih 1,000 kes pesakit barah.
Semasa pusat membantu pesakit barah itu dibuka pada 2012, ia hanya mengendalikan 6 kes sahaja.
PUSAT BARU DILENGKAPI DENGAN PELBAGAI KEMUDAHAN
Pusat jagaan harian itu akan beroperasi di pusat pertama Persatuan Ain dipanggil Eunos Centre di Eunos Crescent. Kerja-kerja mengubah elok pusat itu untuk menjadi pusat jagaan harian kanak-kanak akan dimulakan bulan ini dan ia dijangka siap pada penghujung Disember nanti.
Apabila pusat jagaan itu siap, para penerima bantuan boleh menjangkakan beberapa kemudahan seperti dewan serba guna, bilik rehat, bilik meditasi dan muzik, bilik kaunseling untuk ibu bapa serta terapi buat kanak-kanak dan juga taman permainan.
Langkah ini selaras dengan seruan Presiden Halimah Yacob sebelum ini yang menggalak lebih banyak pertubuhan dan rakan kerja masyarakat untuk membantu pesakit barah dan keluarga mereka.
Presiden Persatuan Ain Encik Malek Osman berkata langkah terbaru ini adalah antara usaha Persatuan Ain untuk mendampingi masyarakat dalam peringkat yang lebih luas.
Beliau turut berkongsi bahawa sebelum ini Persatuan Ain sudah melakukan inisiatif seperti bas pendidikan barah pertama di sini pada 2015 untuk mengukuhkan lagi program-program mendampingi masyarakat.
“Sejauh ini lebih 52,000 orang sudah meraih manfaat daripada inisiatif ini yang dilakukan dengan kerjasama Pusat Barah Nasional Singapura (NCSS) dalam mendidik orang awam tentang pelbagai jenis barah, tanda-tanda dan simptom, pemeriksaan yang disarankan dan juga bagaimana untuk mengurangkan risiko barah,” kata beliau lagi.