Seawal jam 8.30 pagi lagi, sebanyak 24 kumpulan bola sepak sudah berhimpun di HomeGround Sports di kawasan Woodlands Industrial Park pada Ahad (21 Jan) bagi tujuan yang murni.
Acara ‘Cikgu Sies Senan Charity Fun Cup’ itu dianjurkan oleh SPOrT Cancer untuk mengumpulkan dana bagi para pesakit barah di bawah naungan Persatuan Ain.
Ia juga diterajui bersama oleh Encik Sies Senan, seorang bekas jurulatih bola sepak.
Beliau yang dahulu pernah mengajar di Sekolah Menengah Juying, lebih mesra disapa ‘Cikgu’.
Selain mengumpul dana, inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit barah melalui aktiviti-aktiviti sukan.
“SPOrT Cancer ditubuhkan pada September 2023 dengan tujuan untuk menimbulkan kesedaran tentang barah dan juga untuk mengumpulkan dana bagi para pesakit barah, keluarga dan penjaga mereka,” kata Pengasas SPOrT Cancer, Iskandar Wachi.
KEHILANGAN TEMAN BAIK AKIBAT BARAH JADI PENCETUS IDEA TUBUHKAN SPORT CANCER
Encik Iskandar mengongsikan dengan wartawan Nurfazirah Azman bahawa idea untuk menubuhkan SPOrT Cancer tercetus berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri.
Ini ketika kawan baiknya disahkan menghidap penyakit barah yang akhirnya telah meragut nyawanya.
“Bila tahun lepas seorang kawan rapat saya yang selalu bergandingan dengan saya, kami jalankan ‘Fathering Workshop’ ketika saya jadi relawan Bapa Sepanjang Hayat. Tiba-tiba dapat tahu dia sakit barah, kemudian dapat tahu sudah tahap empat.
“Jadi bila saya ziarah isterinya, saya nampak dua basikal di situ, dia katakan basikal itu mereka beli selepas mereka dapat tahu tentang diagnosis, mereka mahu bersenam suami isteri untuk kesihatan tapi tidak berkesempatan. Jadi bila saya teringat dua basikal itu, jadi itulah ideanya untuk adakan SPOrT Cancer ini,” kongsi Encik Iskandar.
24 KUMPULAN DARI PELBAGAI LATAR BELAKANG
Acara hari ini berjaya menarik 24 pasukan bola sepak daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur termasuk relawan masjid.
Rata-rata mereka yang ditemui teruja dapat sertai acara itu. Mereka juga berbangga dapat menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Ain.
“Sudah tentu kami gembira dan memang setiap kali ada peluang, kita akan cuba masuk untuk memberikan pendedahan dan pengalaman untuk belia-belia Masjid Maarof.
“Pada masa yang sama kita hendak belia kita tahu bahawa adanya organisasi seperti Persatuan Ain untuk lebih memahami dan membantu dengan cara apa sekalipun untuk pesakit-pesakit barah dan sebagainya jadi kita mengalu-alukan belia Masjid Maarof untuk program ini,” kata ketua kumpulan ‘Nur Of Maarof’, Muhammad Hafiizhuddiin Khamis, 28 tahun.
Ketua kumpulan ‘Veteran Star SG’, Rosli Mordipi, 58 tahun, turut meluahkan rasa syukur kumpulannya dijemput untuk melibatkan diri dan memberikan sokongan.
Kumpulannya tergolong daripada pemain veteran berumur 50 tahun ke atas dengan yang paling ‘otai’ berumur 62 tahun.
“Kita dapat membantu Persatuan Ain jadi kita ambil bahagian untuk memeriahkan dan memberikan sokongan dan sumbangan insya-Allah.
“Bila kita datang sini kita terkejut, kita nampak banyak pemain-pemain muda tapi tidak apa, kita kasi saingan juga, insya-Allah kalau dapat masuk peringkat selanjutnya baguslah kalau tidak, kita balik makan Nasi Beriani saja dekat belakang ini,” seloroh Encik Rosli.
Ini juga merupakan kesempatan untuk mereka merapatkan silaturahim dan berjumpa dengan teman-teman lama.
“Perasaan seronok, teruja dan juga gembira kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama,” kata wakil kumpulan ‘Masjid Al-Abdul Razak Utd’, Encik Zareen, 50 tahun.
CIKGU SIES SENAN SUMBANG KARYA LUKISAN KEPADA PERSATUAN AIN
Empat buah lukisan karya Cikgu Sies Senan turut dilelongkan dengan hasil penjualannya disalurkan kepada Persatuan Ain.
“Ramai tidak tahu hobi saya yang pertama, bola sepak yang kedua, golf yang ketiga, melukis dan lukisan saya itu dah banyak. Ramai yang hendak ambil dan beli tapi saya tidak jual.
“Yang hendak mereka akan ambil lepas tu saya kata ‘Awak niatkan berapa awak nak bagi saya kemudian 50 peratus anda serahkan kepada pertubuhan amal, sama ada masjid atau anak yatim, terserah dan jangan beritahu saya’. Jadi itu satu kepuasan,” kata mantan guru sekolah menengah Jin Tai.
Menurut beliau, acara ini merupakan yang kelima dianjurkan bersama bekas pelajar sekolah tersebut dan merupakan yang paling besar pernah diadakan.
BERJAYA SUMBANG S$42,000 KEPADA PERSATUAN AIN
Acara pada Ahad (21 Jan) itu berjaya mengumpulkan sebanyak S$22,000 melalui yuran pendaftaran, jualan empat lukisan oleh Cikgu Sies Senan serta sumbangan dari Sheng Siong dan penaja utama, Klincorp.
Sebelum ini acara ‘Cycle for a Cause’ anjuran SPOrT Cancer pada 17 Disember 2023 berjaya mengumpulkan S$10,000.
Secara keseluruhannya, SPOrT Cancer sudah mengumpulkan dana sebanyak S$42,000 buat Persatuan Ain dan diserahkan sewaktu konsert Projek Kasih yang berlangsung Jumaat lalu (19 Jan).
Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Md Yusof Ismail berbesar hati SPOrT Cancer dapat menyokong usaha badan itu dan amat berterima kasih kepada mereka.
Acara hari ini juga baik menurutnya kerana dapat meningkatkan kesedaran mengenai barah melalui kegiatan-kegiatan yang sihat.
“Sukan suatu aktiviti kesihatan yang bukan menjamin tetapi dapat membantu kita untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat yang mudah-mudahan keluarga dan diri mereka sendiri termasuk masyarakat sedar bertapa bahayanya barah ini dan dapat membuat saringan kesihatan dan saringan barah seawal mungkin,” kata Encik Yusof Ismail.
NCCS TURUT SERTA DALAM ACARA
Selain dapat menikmati dan menonton aksi para pemain bola sepak, para hadirin juga boleh meningkatkan pengetahuan tentang penyakit barah menerusi reruai yang dibangunkan Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) di acara itu.
“Setiap peserta akan pergi ke ‘booth’ Pusat Barah Nasional Singapura untuk menjawab soalan kuiz. Walaupun mudah, kita harap ia dapat menimbulkan kesedaran mengenai barah,” kata Encik Iskandar.
Tetamu terhormat acara, Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar mengalu-alukan usaha sedemikian.
Beliau juga merasmikan ‘kick-off’ buat perlawanan pertama acara itu.
“Ia sangat mengagumkan bahawa usaha oleh masyarakat begitu bermakna. SPOrT Cancer sudah mengumpulkan S$42,000 untuk Persatuan Ain dalam hanya dua acara dan ia benar-benar menakjubkan. Sukan bertujuan untuk menyatukan orang ramai dan saya rasa ia mempunyai mesej yang kuat untuk membawa orang ramai bersama-sama untuk menyokong masyarakat,” kata Cik Mariam.
Pengasas SPOrT Cancer juga berkongsi sedang dalam perancangan untuk adakan lebih banyak acara tahun ini.
Antaranya adalah sebuah forum untuk mendidik lebih ramai dalam masyarakat mengenai bahaya barah.