Malu untuk membuat saringan awal kesihatan, terutama sekali untuk mengesan penyakit barah.
Sikap sedemikian perlu diubah kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Haji Yusof Ismail.
“Oleh kerana kurangnya membuat saringan, maka Masyarakat Melayu/Islam kita didiagnos dengan penyakit barah, selalunya sudah di tahap lanjut. Apabila sudah di tahap lanjut, agak sukar untuk memberi rawatan yang agak tepat. Kalau mengesan awal, dapat membantu doktor banyak cara rawatan yang lebih tepat dan khusus bagi merawat para pesakit barah ini,” kata beliau kepada wartawan Nurhelmy Hakim.
Lantaran itu, Persatuan Ain mahu mengubah sikap masyarakat tentang kepentingan melakukan saringan awal penyakit barah.
Hari ini (7 Jun), ia telah melancarkan sebuah kempen kesedaran tentang penyakit barah.
Antara inisiatif pertama kempen selama tiga bulan itu adalah menerusi satu usaha mendekati masyarakat Melayu/Islam di acara Pameran Makanan dan Perkahwinan di Dewan 5, Singapore EXPO.
Para pengunjung berpeluang mendapat pengetahuan tentang pelbagai jenis penyakit barah dan saringan awal yang boleh dilakukan.
Mereka yang memerlukan bantuan kewangan untuk rawatan dan kaunseling berkaitan barah juga boleh mendaftarkan diri sebagai klien bersama Persatuan Ain.
Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional pada 2022 mendapati bahawa kadar penyertaan saringan masyarakat Melayu/Islam terutama sekali golongan wanita adalah yang paling rendah berbanding orang Cina dan India.
Hanya sekitar 30 peratus daripada mereka melakukan saringan barah pangkal rahim.
Turut diadakan semasa acara di Singapore EXPO itu adalah sesi perbincangan selama sejam mengenai saringan kesihatan.
Anggota panelnya termasuk Konsultan, Jabatan Pesakit Dalaman Lanjutan, NUH, Dr Norshima Nashi.
Beliau berkata: “Antara topik yang kita singkap ialah topik barah payudara, barah prostat dan juga barah usus. Menurut garis panduan kebangsaan, tiga jenis barah yang digalakkan untuk menjalani ujian saringan iaitu barah usus untuk mereka yang berumur lima puluh tahun ke atas dan untuk kaum wanita juga perlu menjalani saringan untuk barah payudara dan barah pangkal rahim.”
Usaha mendekati masyarakat oleh Persatuan Ain berlangsung itu berlangsung sehingga Ahad ini (9 Jun).