Jumlah habuan Aidilfitri Persatuan Ain meningkat lebih 60% tahun ini

December 26, 2024

Jumlah wang tunai yang diagihkan kepada pesakit barah dan keluarga mereka di bawah naungan Persatuan Ain pada tahun ini meningkat sebanyak 62.5 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah yang diagihkan adalah antara S$170 hingga S$400 bagi setiap keluarga, bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga penerima.

Habuan tersebut antara lain mengandungi makanan seperti sate beku dan kuih Raya berjumlah S$80.

Secara keseluruhannya, sebanyak S$130,000 diagihkan kepada seramai 600 pesakit barah tahun ini.

50 daripada mereka menerima agihan tersebut daripada tetamu terhormat iaitu Penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob di majlis pengagihan habuan hari ini (26 Mac).

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Md Yusof Ismail berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga-keluarga itu dalam menyambut Syawal yang bakal menjelang.

FAKTOR KOS KEHIDUPAN DIAMBIL KIRA

Encik Yusof juga prihatin dengan perbelanjaan yang lebih tinggi di tengah-tengah inflasi dan harga barangan yang meningkat.

Oleh itu, setiap penerima bantuan di bawah naungan Persatuan Ain akan menerima tambahan S$50 daripada jumlah yang diagihkan tahun lalu.

“Sebagai kita tahu kita sendiri ghairah menyambut Hari Raya dan perbelanjaan kita pada musim raya selalunya meningkat, apatah lagi mereka yang diduga dengan masalah kesihatan seperti barah ini sudah tentu, selain kos rawatan, kos kehidupan mereka terutamanya dalam menyambut raya ini meningkat. Jadi kami di Persatuan Ain mengharapkan bahawa dengan sedikit sumbangan habuan Hari Raya ini, ia dapat meringankan beban mereka dan mereka juga berhak untuk menyambut Hari Raya seperti orang lain,” kata Encik Yusof kepada BERITA Mediacorp.

Akur mengenai kos inflasi yang kian meningkat, sekali gus menyebabkan para pesakit barah menghadapi tekanan kewangan yang lebih tinggi, Persatuan Ain turut akan menawarkan bantuan kewangan tambahan menerusi Dana Prihatin COLcare.

Dana yang berjumlah S$60,000 itu akan diagihkan pada hujung tahun ini.

Selain itu, Persatuan Ain juga sedang menyemak semula bantuan kewangan bulanan yang diagihkan bagi memastikan ia memadai dan sejajar dengan keadaan ekonomi masa kini serta keperluan para penerima masing-masing.

HABUAN AIDILFITRI AMAT DIALU-ALUKAN PARA PENERIMA

Salah seorang penerima yang bersyukur dengan habuan Aidilfitri yang dihulurkan hari ini (26 Mac) ialah Cik Sri Sulastri Sukhami berusia 24 tahun.

Beliau disahkan menghidap barah limfoma tahun lalu.

“Alhamdulillah setelah menerima habuan ini saya rasa yang saya boleh menyambut Hari Raya dengan lebih meriah berbanding sebelum ini kerana saya memang dari dulu mengalami masalah kewangan. Namun dengan habuan ini saya rasa tidak ketat sangat,” luah Cik Sri.

Seorang lagi penerima, Cik Norashikin Sabansalim pula berkata bahawa habuan Persatuan Ain ini “amat membantu” terutama sekali kerana beliau masih menjalani rawatan.

Beliau disahkan menghidap barah payu dara tahap kedua pada tahun 2018.

Sejak itu, beliau sudah menjalani pembedahan dan pelbagai rawatan yang termasuk kemoterapi.

Cik Norashikin berkata, “Habuan Aidilfitri ini dapat banyak membantu kos perbelanjaan saya kerana saya masih melalui program saringan dan segala prosedur-prosedur di hospital. Jadi ia sedikit sebanyak membantu kos rawatan saya.”

Sebagai pesakit barah, beliau turut berkongsi antara cabaran lain yang dihadapinya adalah dari segi emosi dan mental.

Lantaran itu, beliau telah memanfaatkan pelbagai program yang ditawarkan Persatuan Ain bagi meningkatkan semangat dan keyakinan dirinya untuk meneruskan kehidupan.

PERSATUAN AIN UMUM 2 INISIATIF BAHARU

Semasa majlis agihan habuan Aidilfitri itu, Persatuan Ain turut mengumumkan dua inisiatif baharu iaitu – Skim Mengambil Keluarga Angkat dan Dana Khas Educare.

Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga, sekali gus membolehkan para ibu bapa menumpukan perhatian terhadap rawatan dan kesejahteraan anak-anak mereka.

Di bawah Skim Mengambil Keluarga Angkat, para penderma boleh ikrarkan sebanyak $400 setiap bulan sepanjang tahun untuk beri sokongan menyeluruh kepada pesakit barah dan keluarga mereka.

“Dengan skim anak angkat ini, selain daripada itu keluarga ini bukan hanya dapat sokongan daripada segi kewangan, tapi juga sokongan dari segi emosi – bahawa mereka tidak sendirian. Anggota masyarakat yang mengambil anak angkat dalam skim ini mereka berpeluang untuk berinteraksi dengan keluarga angkat mereka ini tiga bulan sekali di Persatuan Ain. Selain daripada beri sokongan, mereka juga boleh memantau kemajuan keluarga tersebut dan memastikan wang yang mereka taja itu benar-benar pergi ke keluarga itu,” dedah Encik Yusof.

Dana Khas Educare pula lebih tertumpu kepada kanak-kanak dengan keperluan khas akibat rawatan barah mereka. Para penderma boleh menyumbang $1,000 bagi setiap kanak-kanak untuk tempoh setahun.

Buat masa ini, terdapat 15 kanak-kanak yang memerlukan sokongan Dana Khas Educare.

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.