Presiden Halimah juga melancarkan buku online yang menyingkap pencapaian dan detik-detik bersejarah badan kebajikan itu sepanjang 20 tahun lalu.
SINGAPURA: Persatuan Ain merancang untuk menubuhkan sebuah pusat jagaan khusus untuk wanita Melayu/Islam yang masih menghidap atau pulih dari barah.
Badan kebajikan itu mendedahkan demikian sempena kunjungan Presiden Halimah Yacob ke pusat jagaan pesakit barah kanak-kanak kendaliannya, dipanggil Pusat Jagaan Barah Young Heroes, pada Selasa (8 Dis).
Mengulas tentang rancangannya itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail berkata: “Antara pesakit barah lelaki, pesakit barah wanita, kadang-kadang ada persoalan aurat. Jadi kami tadi sudah bersuara dengan Puan Presiden bagaimana nanti dapat membantu setelah COVID-19 nanti habis, kami akan merancangkan mungkin untuk menyediakan satu pusat khusus untuk wanita.”
Semasa berkunjung ke pusat yang terletak di Eunos Crescent itu, Presiden Halimah antara lain menyertai sesi bercerita dengan lima kanak-kanak pesakit barah dan beramah mesra bersama keluarga mereka.
Beroperasi lima hari seminggu, pusat khusus untuk pesakit barah kanak-kanak itu dilengkapi dengan ruang-ruang kondusif untuk menjalankan kegiatan muzik dan juga kaunseling bagi mereka dan juga ibu bapa pesakit.
Pusat itu dahulunya dibuka bagi kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak. Namun, ekoran bertambahnya jumlah kes barah kanak-kanak yang dirujuk ke pusat itu setiap hari, pengurusan pesakit barah dewasa dipindahkan ke cawangannya di Haig Road.
Kos untuk mengubah suai kemudahan itu menjadi Pusat Jagaan Barah Young Heroes menelan belanja S$265,000 yang berjaya dikumpulkan menerusi ‘Projek Kasih’ 2019.
Pusat yang kini menampung 120 kanak-kanak siap lewat tahun lalu.
Disebabkan COVID-19, beberapa programnya dijalankan secara online dan kini hanya 20 sahaja kanak-kanak dan ibu bapa mereka yang masih datang ke pusat ini.
Bagi menyokong keluarga-keluarga pesakit barah untuk mengharungi cabaran COVID-19, Persatuan Ain akan melanjutkan “Dana Khas Ancaman COVID-19” yang dilancarkannya pada April 2020.
“Kami memperuntukkan S$150,000 pada tahun 2021 untuk membantu mereka khususnya. Kami ingin pastikan makanan, api air sentiasa ada di rumah mereka. Juga tambang mereka ke hospital menjalani rawatan kemoterapi dan sebagainya. Ini keperluan asas yang kami pastikan perlu ada,” jelas Encik Mohd Yusof.
SAH MENGHIDAP BARAH SEJAK UMUR DUA SETENGAH TAHUN
Antara keluarga yang meraih manfaat dari Pusat Jagaan Barah Young Heroes ialah Cik Siti Nurba’yah Mohd Hamid, 36 tahun.
Anaknya, ‘Aliyan Amadi Mohd Alfian, sembilan tahun menghidap penyakit Leukemia Limfositik Akut iaitu sejenis barah darah dan sumsum tulang sejak usianya dua setengah tahun lagi.
Mengenang detik-detik anak keduanya itu didiagnos sah barah, Cik Nurba’yah berkata: “Mula-mula bila sakit sudah disahkan, tujuh hingga lapan bulan dia harus berulang alik ke hospital. Kemoterapi akan makan masa satu hari atau dua hari kerana ubatnya dikhususkan untuk pesakit itu saja. Jadi dia harus duduk di hospital kadangkala lima, enam hari untuk pemantauan. Kadangkala bila dia di rumah dia kena diasingkan. Kena pakai pelitup kerana imuniti yang rendah.”
Berat hatinya melihat penderitaan ‘Aliyan, Cik Nurba’yah bersyukur Pusat Jagaan Barah Young Heroes dapat mengukir keceriaan kepada anaknya itu.
“Anak nangis, kita pun nangis. Tapi bila kita tengok dia lebih tabah dari kita bila hari-hari dia suka, gembira, saya pun gembira macam ok lah dia lebih kuat dari yang dilihat,” ujarnya yang pernah bertugas sebagai guru prasekolah.
Ketika ditemui kru BERITAmediacorp, ‘Aliyan yang akan melangkah ke darjah empat di Sekolah Rendah Oasis, kelihatan sangat gembira berlari-lari dengan bebas dan melompat ke dalam kolam bola (ball pit) – antara sudut kegemarannya.
Pesanannya kepada ibu bapa yang mungkin senasib dengannya, Cik Nurba’yah berkata: “Jangan putus asa. Walaupun kita tahu kalau boleh kita nak ambil penyakit itu dari anak, tapi kita pun kena kuatkan diri untuk mereka. Bila mereka nampak kita kuat, mereka pun akan cuba sedaya upaya untuk kuat juga untuk kita.”
BUKU DIGITAL SEMPENA ULANG TAHUN KE 20 PERSATUAN AIN
Sempena lawatannya ke Pusat Jagaan Barah Young Heroes Presiden Halimah turut menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pesakit barah yang cekal melawan penyakit itu ditengah-tengah COVID-19. Mereka adalah Cik Sania Osman, Cik Mahani Lazim dan Cik Rosiah Hussen.
Presiden Halimah juga melancarkan buku online yang menyingkap pencapaian dan detik-detik bersejarah badan kebajikan itu sepanjang 20 tahun lalu.
Ia boleh dimuat turun secara percuma di laman www.ainsociety.org.sg mulai 14 Disember 2020.