Persatuan Ain baru-baru ini berjaya mengumpulkan kutipan rekod S$320,000 menerusi satu acara golf amal, menurut badan tersebut dalam satu kenyataan media pada Jumaat (16 Jul).
SINGAPURA: Persatuan Ain baru-baru ini berjaya mengumpulkan kutipan rekod S$320,000 menerusi satu acara golf amal, menurut badan tersebut dalam satu kenyataan media pada Jumaat (16 Jul).
Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, jurucakap badan tersebut menambah bahawa jumlah yang dikumpulkan itu adalah satu “pencapaian besar” berbanding jumlah-jumlah yang dikumpulkan menerusi acara golf amal sejak ia dimulakan dua tahun lalu.
Acara golf amalnya yang pertama pada 2018 berjaya mengumpulkan sekitar S$80,000, manakala tahun 2019 menyaksikan kutipan S$120,000.
Persatuan Ain tidak menganjurkan acara golf amal tahun lalu ekoran keadaan COVID-19 ketika itu.
Menurut badan amal itu, acara tahun ini diadakan pada 25 Jun yang mendapat sokongan 120 peserta di Tanah Merah Country Club meskipun cuaca mendung.
Pengerusi bersama jawatankuasa penganjur, Encik Ivan Chua, berkata beliau amat berbesar hati dengan kehadiran badan-badan dan rakan kerjasama masyarakat yang tampil untuk menghulurkan bantuan kepada pesakit barah dan keluarga mereka menerusi Persatuan Ain.
“Meskipun makin ramai yang menghidap barah, yakni pembunuh utama di Singapura, semakin ramai juga yang berjaya mengatasi penyakit ini dengan rawatan perubatan lebih baik. Ini juga bermakna jumlah penerima yang memohon bantuan dan sokongan sosial juga akan terus meningkat,” menurut beliau dalam kenyataan tersebut.
Satu acara penyampaian cek diadakan pada Khamis di cawangan utama Hugo BOSS di Takashimaya.