Seorang kanak-kanak yang menghidap barah otak menjadi penerima pertama satu skim bantuan Persatuan Ain, yang menghulurkan S$30,000 setiap satu.
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak yang menghidap barah otak menjadi penerima pertama satu skim bantuan Persatuan Ain, yang menghulurkan S$30,000 setiap satu.
Di bawah skim baru itu, badan tersebut akan membantu tiga kanak-kanak pesakit barah mendapatkan rawatan di luar negara.
Penerima pertama itu, Aryan Haqim Md Nazri, enam tahun, dengan ditemani ibu bapanya, akan berangkat ke Amerika Syarikat pada 1.15 pagi Rabu (6 Okt) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kanak-Kanak Golisano di Rochester.
Di hospital itu nanti, Aryan akan mendapatkan rawatan khusus bagi merawat barah atau ketumbuhan di otaknya.
KEADAAN PENYAKIT ARYAN
Sejak awal tahun ini, Aryan sudah menjalani 30 sesi radioterapi dan kemoterapi di Singapura selepas disahkan menghidap barah otak jenis Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG).
Antara simptom yang dihadapinya termasuk kesukaran untuk berbual, berjalan dan rasa pening.
Seorang pakar barah kemudian menyarankan agar Aryan mendapatkan rawatan yang hanya boleh didapati di Amerika Syarikat, yang dipanggil ONC-201.
Namun belanja bagi rawatan sedemikian termasuk kos-kos sampingan lain cukup mahal – boleh mencecah sehingga S$60,000!
“Saya memberitahu mereka bahawa saya perlu berfikir dahulu kerana kosnya yang tinggi dan juga keadaan Aryan sekarang. Ada pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan,” kongsi ibu Aryan, Cik Haslinda Hassan kepada BERITAmediacorp.
Mujur, hospital tersebut bersetuju menaja sepenuhnya rawatan di Amerika itu. Selain itu, tempat tinggal di Amerika nanti juga ditaja sepenuhnya oleh Ronald McDonald House, sebuah badan tidak meraih kuntungan (NPO) di Rochester.
Namun, terdapat kos-kos sampingan lain yang perlu dipertimbangkan termasuk tiket penerbangan dan perbelanjaan seharian.
MENGGAPAI PELANGI HULUR S$30,000 SETIAP KANAK-KANAK
Di sinilah skim baru Persatuan Ain tampil membantu. Dipanggil ‘Menggapai Pelangi’, ia menghulurkan S$30,000 setiap satu khusus buat kanak-kanak yang menghidap barah untuk mendapatkan rawatan di luar negara yang berdasarkan saranan doktor.
Buat masa ini Persatuan Ain memperuntukkan S$90,000 untuk program ini untuk tempoh setahun dan membantu tiga kanak-kanak pesakit barah.
Ia membantu kos tiket kapal terbang, perbelanjaan harian di luar negara serta kos kecemasan yang diperlukan pesakit semasa tempoh rawatan di luar negara, untuk pesakit dan juga ibu bapa yang menemani mereka.
“Kriterianya adalah mereka perlu ada penaja bagi rawatan dan perubatan di mana-mana yang mereka disarankan pergi, dan juga penaja bagi penginapan mereka sepanjang mereka di sana,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail.
“Kami akan membantu dari segi pengangkutan, dan juga keperluan seharian, dalam menjalani rawatan ini,” tambahnya lagi.
Menurut pihak Persatuan Ain lagi, ini merupakan cara untuk mengurangkan beban yang dipukul pada ibu bapa semasa membuat persediaan bagi rawatan di luar negeri.
Encik Yusof berkata Aryan merupakan yang pertama dipilih menerima bantuan di bawah skim ini kerana keadaan barahnya yang agak teruk.
“Kes Aryan ini walaupun dalam keadaan pandemik tetapi kes dia ini agak terdesak kerana selalunya jangka hayat seorang kanak-kanak yang menghidap DIPG ini hanya lima tahun,” ujar Encik Yusof.
“Namun, semangatnya untuk hidup ini masih kuat,” tambahnya lagi.
IBU ARYAN SYUKUR TERIMA BANTUAN SKIM BARU ITU
Menjadi yang pertama menerima bantuan di bawah skim tersebut, Cik Haslinda melahirkan rasa syukurnya kepada persatuan tersebut.
“Itu bukan jumlah yang kecil, tetapi besar. Jadi saya amat bersyukur dan berterima kasih Allah menemukan kami dengan Persatuan Ain,” kongsi Cik Haslinda.
“Mereka sudah memberi kami peluang ini untuk mencuba yang terbaik buat anak kami,” tambahnya lagi.
Jika ubat-ubatan tersebut berkesan, Cik Haslinda akan berangkat lagi pada Disember untuk meneruskan rawatan ini.
Yang pasti, Persatuan Ain mengajak para ibu bapa lain di luar sana untuk memohon bantuan di bawah skim ini, jika mereka memerlukannya.