Hampir 420 pesakit barah dapat duit & hamper Raya dari Persatuan Ain

May 10, 2021

Kalau tahun lalu sekitar 350 pesakit barah Persatuan Ain mendapat bantuan kewangan dan habuan Hari Raya, tahun ini jumlah penerimanya bertambah 20 peratus! Dalam erti kata lain, 419 pesakit barah dibantunya kali ini.

SINGAPURA: Kalau tahun lalu sekitar 350 pesakit barah Persatuan Ain mendapat bantuan kewangan dan habuan Hari Raya, tahun ini jumlah penerimanya bertambah 20 peratus! Dalam erti kata lain, 419 pesakit barah dibantunya kali ini.

Malah, bantuan yang disumbangkan menerusi badan kebajikan di bawah naungan Presiden Halimah Yacob itu, ternyata lebih tinggi.

“Ada pertambahan sebanyak 40 peratus daripada tahun lalu. Tahun lalu kita kasi habuan Hari Raya sebanyak S$60,000 tetapi tahun ini bertambah jadi $81,810. Jadi setiap pesakit barah terima kurang lebih daripada antara S$200 hingga S$370,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail.

Bagi pengagihan habuan kali ini, setiap pesakit menerima barang-barang keperluan dapur dan hamper berisi kuih-muih seperti biskut suji, kuih tat mahupun kuih siput.

PRESIDEN HALIMAH ZIARAH 9 PESAKIT BARAH

Dalam satu acara kecil-kecilan di Pusat Jagaan Barah Serenity Persatuan Ain pada Isnin (10 Mei), Presiden Halimah menyampaikan sendiri ‘hadiah’ Hari Raya kepada sembilan pesakit barah.

Di acara serba sederhana itulah, beliau beramah-tamah dengan para pesakit barah dan mendengar rintihan mereka.

“Sangat gembira dan teruja sebab saya selalu tengok Presiden di televisyen sahaja. Jadi bila dapat berjumpa dengannya dan berkongsi apa yang saya rasa… pengalamannya sangat bermaknalah buat saya,” kata salah seorang pesakit bernama Nurul Insyirah Abdul Halim, 29 tahun.

Dia didiagnos dengan leukemia pada 2018.

Setelah menjalani pemindahan sel tunjang, dirinya mudah cepat lelah sehingga Insyirah akhirnya memilih untuk berhenti bekerja sebagai seorang pegawai khidmat pesakit di Hospital Besar Singapura.

Ini sedikit sebanyak menjejas kedudukan kewangan keluarganya.

“Ibu saya, dia seorang ibu tunggal. Jadi dia yang menanggung semua kos perbelanjaan keluarga. Bila saya bekerja, saya tolong ibu saya. Tapi bila saya dah sakit ini… nasib baik kita dapatkan pertolongan kewangan sebab tak cukup. Orang tahu kos kemoterapi sangat tinggi,” cerita Insyirah.

Luahan seperti inilah yang Presiden Halimah dengarkan semasa lawatannya ke pusat jagaan Persatuan Ain itu. Setiap pesakit barah mempunyai cabaran tersendiri.

GESA BADAN KEBAJIKAN PERHEBAT USAHA

Menulis di Facebook selepas kunjungan tersebut, Presiden Halimah menyeru badan-badan kebajikan supaya memperhebat usaha menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Dengan demografi para penerima bantuan yang berubah-ubah dan kemajuan teknologi, mereka juga harus terus mencari cara-cara kreatif untuk mengatur program dan inisiatif sesuai yang akan menyokong pemulihan serta menggalak mereka mencapai impian masing-masing,” tambah Presiden Halimah.

Bagi Persatuan Ain, ia sudahpun mengorak langkah untuk mempertingkat mutu program sokongan-sokongannya.

Ini dilakukan dengan mengumpul maklum balas dengan para penerima sejak awal tahun ini mengenai khidmat-khidmatnya yang beralih ke wadah online.

“Oleh kerana COVID, kita tak dapat bergerak. Sekarang program sokongan kami dan kaunseling kami banyak dijalankan secara maya,” kata Encik Yusof.

Beliau turut mendedahkan, rancangan Persatuan Ain untuk membuka sebuah pusat jagaan baru di kawasan utara atau barat juga masih perlu ditangguhkan dahulu.  

Follow Us