SINGAPURA: Menggalak masyarakat bagi lakukan saringan awal bagi mengesan penyakit barah merupakan tumpuan utama edisi kesembilan konsert amal tahunan Projek Kasih.
Konsert anjuran bersama Persatuan Ain dan saluran Mediacorp Suria bakal dipentaskan pada Jumaat (19 Jan) dengan tema ‘Hati Repuh, Impian Remuk: Bersama Bangkitkan Semangat, Kembalikan Harapan’.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Md Yusof Ismail berkongsi bersama wartawan Nurfazirah Azman antara keistimewaan konsert tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Selalunya tahun-tahun yang lalu kita hanya menghiburkan penonton sambil kita mengumpul dana untuk membantu para pesakit barah terutamanya di bawah naungan Persatuan Ain tapi tahun ini agak berbeza sedikit, keistimewaannya kita juga menyampai mesej untuk membuat saringan awal (barah),” kata Encik Md Yusof.
“Buat masa ini, belum ada satu kaedah pun yang dapat mencegah barah tapi dengan saringan awal, kesan awal, insya-Allah barah akan terkawal,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan keberkesanan kempen ‘Pengesanan Awal, Selamatkan Nyawa’ Persatuan Ain sejak ia dilancarkan pada 2023.
“Nampak peningkatan bahawa masyarakat kita sekarang dengan pengetahuan yang telah kami sebarkan, berkongsi sama di masjid-masjid dan badan-badan Islam yang lain tentang kesedaran ini yang lebih bersedia untuk membuat saringan awal meningkat daripada 70 peratus dan sekarang ini sudah menjangkau kepada 81.9 peratus,” kata Encik Md Yusof.
Menurutnya, Persatuan Ain akan meneruskan kempen tersebut sehingga 2025.
Masyarakat juga akan diingatkan lagi menerusi rancangan dua jam, Projek Kasih yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu 679 pesakit barah dalam program-program dan perkhidmatan di bawah naungan Persatuan Ain.
Setakat ini, Persatuan Ain sudah membantu 1,519 individu.
JANGKA DAPAT PECAHKAN REKOD KUMPULAN DANA 2023.
Dana yang dikumpul pada konsert itu akan diperuntukkan bagi memperkasa bantuan buat para pesakit barah dan para penjaga mereka.
“Setiap tahun, kami menyemak semula pembahagian ataupun bantuan kewangan kami setiap bulan kepada para pesakit barah dan keluarga mereka. Pada masa yang sama juga kami menyemak semula per kapita geran bagi mereka yang layak menerima bantuan daripada kami.
“Kami akan tingkatkan juga pembahagian bantuan kewangan bulanan. Buat masa ini antara S$150 hingga S$300 dan kami akan semak semula,” kongsi Encik Md Yusof.
Persatuan Ain berharap ia dapat mengatasi jumlah yang terkumpul tahun lepas meski sedar masyarakat kini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kita tahu kali ini agak berbeza sedikit kerana GST baru meningkat. Jadi kos kehidupan meningkat lagi di Singapura.
“Walau macam mana pun dalam senyap, saya yakin kerana kita tahu masyarakat Singapura ini amat pemurah, lebih-lebih lagi dalam usaha kita mengumpul dana untuk membantu para pesakit barah. Saya tidak akan terperanjat jika kita akan melepasi apa yang kita kumpulkan tahun lepas,” ujarnya.
TUBUH PUSAT BAHARU KHAS BUAT PESAKIT BARAH BELIA
Sebahagian daripada jumlah dana juga akan disalurkan bagi kos ubah elok sebuah pusat baharu di Bedok North.
Persatuan Ain juga dalam perancangan untuk menjadikan pusatnya di Eunos mesra belia untuk mendampingi dan menyantuni para pesakit barah belia.
“Golongan khusus, golongan khas sedang mendapatkan permit untuk kami mengubah elok pusat kami di Eunos untuk menerima golongan remaja dan belia ini untuk kami tangani masalah mereka.
“Mereka tiada tempat, tiada ruang. Umur seperti itu mereka tidak sesuai dengan kanak-kanak dan orang dewasa. Para pesakit remaja ini mereka perlukan khusus pusat mereka sendiri. Jadi dana yang dikumpulkan akan kami salurkan untuk kami baik pulih, ubah elok tempat yang baharu nanti,” kongsi Encik Md Yusof.
JAMAL ABDILLAH, FRANCISSCA PETER DIJEMPUT SERTAI PROJEK KASIH 2024
Konsert tahun ini bukan saja diharap membakar semangat dan harapan para pesakit barah di bawah naungan Persatuan Ain malah bertujuan menyebarkan mesej bahawa golongan susah ini tidak bersendirian.
Ini sangat dialu-alukan penghibur dari Malaysia, Jamal Abdillah, yang turut akan menyerikan konsert tahun ini.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana dipilih untuk sama-sama menjayakan Projek Kasih, Persatuan Ain dan bersyukur bakat saya ini boleh digunakan untuk sama-sama mengajak orang untuk menderma. Karya-karya yang saya akan nyanyikan hari ini mengisahkan kehidupan, soal kasih dan sayang dan apa yang ditunjukkan oleh Persatuan Ain iaitu mengasihi sesama manusia,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir.
Selain beliau, beberapa artis popular seperti Francissca Peter, Ramli Sarip, Aisyah Aziz, Addy Cradle dan Hazrul Nizam juga akan menyumbangkan suara emas mereka.
Penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz juga teruja dapat menyertai Projek Kasih sekali lagi.
Ini merupakan tahun ketiga beliau membuat penampilan dalam konsert itu.
“Kali ini dengan semangat yang baharu. Saya juga diberi peluang untuk membuat persembahan yang saya rasa amat ‘intimate’ kerana sebelum ini, muzik lagu dimainkan melalui ‘tracks’ tetapi kali ini saya akan menyanyikan lagu ini secara langsung diiringi oleh Encik Syawal Kassim dengan piano,” kongsi Aisyah Aziz.
Selain sajian hiburan oleh para artis, acara itu turut memaparkan kisah-kisah cabaran yang ditempuhi para penerima bantuan.
Projek Kasih 2024 juga akan diserikan juga dengan kehadiran tetamu terhormat, Penaung Persatuan Ain dan Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Puan Halimah Yacob.
Ia akan disiarkan secara langsung pada jam 8.30 malam di saluran SURIA dan meWATCH.
Orang ramai boleh menghulurkan derma melalui kaedah PayNow dan lelaman Persatuan Ain.