Persatuan Ain bakal menyaksikan beberapa muka baru menerajui pucuk kepimpinannya menyusuli Mesyuarat Agung Dwi Tahunan persatuan itu yang diadakan pada 3 Februari lalu.
Mengumumkan pelantikan itu dalam satu siaran media pada 14 Februari, Persatuan Ain berkata seramai tujuh karyawan muda Melayu/Islam daripada pelbagai bidang kerjaya akan menyertai mereka bagi penggal 2024-2026.
Mereka adalah, penolong pengurus digital dari Changi Airport Group (CAG), Encik Amirul Ashraf Aniza, 31 tahun, yang dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Ain; doktor perubatan umum (GP) Frontier Healthcare Group, Dr Arif Uzair Mohamad Roslan, 32 tahun, yang dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung dan jurutera bioteknologi, Encik Muhammad Hafiz Hashim, 29 tahun, dilantik sebagai Penolong Bendahari persatuan itu.
Encik Amirul menggantikan Encik Bambang Sumaryono Ali, yang kini akan memimpin badan Melayu/Islam itu sebagai presiden bagi penggal baru ini. Beliau mengambil alih jawatan presiden daripada Encik Mohamad Fadzrun Adnan.
Antara anggota lembaga pengurusan baru lain termasuk, Dr Norshima Nashi, 34 tahun; Dr Zuhairah Nurul-Asyura Zulkiflee, 32 tahun; Cik Fatin Aqilah Mohamad Amran, 29 tahun; dan Cik Nur Farah Damri, 41 tahun.
Persatuan Ain berkata penyertaan anggota yang lebih muda akan membantu memastikan kesinambungan pembangunannya.
Ia juga akan memberi peluang kepada generasi muda memainkan peranan lebih aktif dalam mendekati masyarakat melalui pentadbiran persatuan dan pendidikan awam dalam meningkatkan kesedaran mengenai barah.
“Langkah ini adalah satu langkah positif dengan Persatuan Ain dapat menarik minat karyawan-karyawan muda sebagai sukarela dalam memenuhi aspirasi dan perkembangan positif hala-tuju kami.
“Dengan penyertaan karyawan-karyawan muda ini, Persatuan Ain kini dipimpin oleh kombinasi karyawan mapan dan juga karyawan-karyawan muda yang baru ini.
“Dengan langkah ini, diharap Persatuan Ain akan terus menyediakan khidmat yang lebih bersepadu lagi bermutu kepada golongan masyarakat yang memerlukan,” kata persatuan itu.
Mengulas tentang pelantikan beliau selaku presiden baru Persatuan Ain, Encik Bambang berkata beliau berasa amat teruja dan berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan itu.
Beliau menambah: “Dalam saya memulakan peranan baru ini, saya dipenuhi dengan rasa tanggungjawab dan komitmen yang mendalam untuk berkhidmat kepada masyarakat kita.
“Penyakit barah menyentuh kehidupan ramai orang, dan kerja yang kami lakukan di sini bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan atau sokongan psikologi, bahkan mengenai menanam harapan dan belas kasihan dalam setiap interaksi (bersama pesakit).
“Harapan saya untuk Persatuan Ain adalah untuk meneruskan kerja penting kami dengan dedikasi dan keberkesanan yang lebih besar.
“Saya membayangkan masa depan dengan tiada sesiapa yang menghadapi barah akan berasa keseorangan atau tidak disokong, dan agar sumber serta perkhidmatan kami dapat menjangkau setiap individu yang memerlukan, dan kami boleh membuat perubahan ketara dalam kehidupan mereka dengan kami menghulurkan bantuan.”
“Dalam saya memulakan peranan baru ini, saya dipenuhi dengan rasa tanggungjawab dan komitmen yang mendalam untuk berkhidmat kepada masyarakat kita. Harapan saya untuk Persatuan Ain adalah untuk meneruskan kerja penting kami dengan dedikasi dan keberkesanan yang lebih besar.” – Presiden Persatuan Ain, Encik Bambang Sumaryono Ali.