Sebanyak S$1,148,503 berjaya dikumpulkan menerusi konsert amal Projek Kasih 2024 pada Jumaat (19 Jan).
SINGAPURA: Sebanyak S$1,148,503 berjaya dikumpulkan menerusi konsert amal Projek Kasih 2024 pada Jumaat (19 Jan).
Ini sekali gus mengatasi sasaran awal S$800,000 untuk edisi ke-9 konsert anjuran Persatuan Ain dan Mediacorp Suria.
“Kami gembira dengan hasil kutipan dari Projek Kasih pada tahun ini. Terima kasih kami ucapkan kepada semua penderma atas sumbangan yang diberikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail.
Meskipun terdapat masalah teknikal, beliau tetap berbesar hati dengan sokongan yang diberikan orang ramai kepada usaha badan itu.
“Malangnya hari ini ada kegenjotan teknikal di mana terdapat ramai orang yang melungsuri lelaman web ‘aindonate.sg’ dan ini membuatkan sistem web kami tergendala.
“Walau bagaimanapun, kami bersyukur yang acara tahun ini berjalan dengan baik dan kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mediacorp atas sokongan mereka untuk sama-sama menjayakan Projek Kasih,” tambahnya.
Dana yang terkumpul akan digunakan untuk membantu para pesakit barah serta ahli keluarga mereka menerusi perkhidmatan dan program yang dijalankan Persatuan Ain.
‘RAJA POP’ DAN ‘PAPA ROCK’ GABUNG SUARA
Sepanjang dua jam, para penonton dihiburkan dengan persembahan bakat-bakat tempatan termasuk Aisyah Aziz dan Hazrul Nizam serta artis-artis seberang tambak, Jamal Abdillah dan Franscissca Peter yang turut membawakan lagu duet popular mereka, ‘Kehebatan Cinta’.
Lebih istimewa lagi, ‘Raja Pop’ Jamal Abdillah dan ‘Papa Rock’ Ramli Sarip bergabung suara untuk mendendangnkan lagu ‘Syair Laila Majnun’.
Persembahan juga diselang-selikan dengan montaj video kisah yang diharungi para pesakit barah dari pelbagai peringkat usia.
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang pencegahan awal barah yang seiring dengan kempen ‘Pengesanan Awal, Selamatkan Nyawa’ Persatuan Ain’, beberapa artis tempatan termasuk Hamzah Adon dan Ainon Talib turut berkongsi pengalaman mereka.
Siaran ulangan Projek Kasih 2024 boleh disaksikan pada Sabtu, 10 Februari 2024, 9.30pm di saluran Mediacorp Suria.