Dalam tujuh tahun Persatuan Ain menganjurkan konsert amal ‘Projek Kasih’ di saluran Suria, ia sudah berjaya meraih S$4,211,840.
SINGAPURA: Dalam tujuh tahun Persatuan Ain menganjurkan konsert amal ‘Projek Kasih’ di saluran Suria, ia sudah berjaya meraih S$4,211,840.
Sejak ia dilancarkan pada 2013, acara tersebut yang diadakan hampir setiap tahun itu bagi mengumpul dana bagi para pesakit barah, penjaga dan keluarga mereka di bawah naungannya.
Konsert amal yang diadakan itu juga antara usaha utama badan amal tersebut agar ia dapat meneruskan program dan perkhidmatannya di dua pusat jagaannya untuk golongan dewasa dan kanak-kanak yang menghidap barah.
Sebagai sebuah pertubuhan amal, ia bergantung sepenuhnya kepada sumbangan serta derma daripada peringkat individu dan korporat.
Justeru, format acara amal sedemikian masih lagi diteruskan kerana ia berupaya menarik jumlah penderma dan jangkauan yang lebih luas.
“Kami ‘membawa Persatuan Ain ke dalam ruang tamu’ supaya dapat meraih sokongan masyarakat, meningkatkan kesedaran tentang program-program dan perkhidmatan-perkhidmatan kami, dan mendampingi lebih ramai para pesakit barah, pengasuh dan keluarga mereka yang memerlukan,” kata Pengarah (Admin dan Kewangan), Cik Yatimatussalihah Rahmat.
Ini di samping menganjurkan kegiatan dan acara buat para penderma di bawah kempen ‘Projek Kasih’.
Secara keseluruhannya, sebanyak S$11.2 juta berjaya dikumpulkan menerusi usaha tersebut.
Menurut Cik Yatimatussalihah, sekitar 26 peratus digunakan untuk usaha mengumpul dana manakala 74 peratus dana pula digunakan untuk menampung kos mengendalikan program dan perkhidmatan di dua pusatnya di Haig Road dan Eunos serta bantuan kewangan.
RAMLI SARIP RANCANG LEBIH BANYAK PROJEK DENGAN PERSATUAN AIN
Selepas ditiadakan selama tiga tahun akibat pandemik COVID-19, acara ‘Projek Kasih’ diadakan semula tahun ini dengan penampilan barisan artis popular tempatan dan luar negara.
Antara bintang dari seberang yang bakal mewarnai acara tersebut ialah M Nasir, yang pertama kali membuat persembahan di acara tersebut.
Di tengah-tengah kesibukannya dengan pelbagai projek lakonan dan persembahan di Malaysia, beliau menerima undangan untuk membuat persembahan itu sebagai wadah baginya untuk menyumbang semula.
“Saya sebenarnya bersyukur dan terima kasih kerana terlibat dalam acara ini. Ia adalah satu peluang bagi saya hendak mengekspresikan keprihatinan kepada projek ini, bersyukurlah,” kata M Nasir.
Untuk persembahannya dalam ‘Projek Kasih’, beliau akan membawakan tiga lagu popularnya – ‘Srikandi Cintaku’, ‘Suatu Masa’ dan ‘Raikan Cinta’.
Bagi ‘sifu’ sendiri, mesej yang tersirat di dalam karya-karyanya itu diharap dapat dijadikan pedoman untuk semua.
“Kasih sayang, cinta dan keihsanan, keprihatinan, kemanusiaan, itu yang kita perlu ada pada zaman sekarang ini yang semakin berkurangan. Sebagai manusia kita harus ada perasaan kasih sayang. Dengan itu kita boleh bertahan dalam dunia ini,” kata pelantun lagu ‘Mentera Semerah Padi’ dan ‘Bonda’ itu.
Dalam perancangannya tahun ini, M Nasir bakal mengadakan sebuah konsert di Singapura pada Julai nanti.
Beliau juga berharap untuk menghasilkan sebuah album baru pada tahun ini.
“Sebenarnya saya sudah buat album itu dah sekian lama saya buat. Cuma masih belum ada rasa untuk mengeluarkannya kerana perubahan masa dan banyak benda dan saya sudah jadi hilang fokus dalam benda itu tapi sekarang saya nak kembali pada itu dan ingin menyiapkan album,” tambah ‘sifu’ lagi.
Seorang lagi bintang legenda yang berharap persembahannya dapat memberi inspirasi kepada para penerima bantuan ialah Ramli Sarip.
Beliau akan menyanyikan dua lagu klasiknya, ‘Hilang Gelap Terbitlah Terang’ dan ‘Senandung Hidup Berbudi’.
“‘Hilang Gelap Terbitlah Terang’ menceritakan tentang daripada gelap ke bercahaya dan ‘Senandung Hidup Berbudi’ menceritakan tentang harian yang mana, yang mulia kita kena hormatkan tetapi yang rendah jangan dihinakan,” kata Ramli Sarip, yang juga akan berduet dengan penyanyi tempatan, Iskandar Ismail.
Ramli Sarip yang juga pernah terlibat dalam edisi ‘Projek Kasih 2019’ turut menyuarakan keinginan untuk terus bekerjasama dengan Persatuan Ain untuk beberapa lagi projek pada masa hadapan.
“Kita semua ada peranan dalam kerjaya atau hidup kita dan saya sangat tersentuh dengan projek ini sebenarnya kerana projek ini adalah sesuatu yang murni. Yang penting kita dapat memberi dan membantu, memberi sokongan apa yang terbaik buat Persatuan Ain,” tambahnya.
PERNAH LALUI PENGALAMAN SERUPA, KHAIRUDIN SAHAROM FAHAM PERASAAN PARA PENERIMA BANTUAN
Edisi kelapan acara itu turut menampilkan persembahan daripada artis-artis termasuk Hady Mirza, Sufi Rashid, Rahila Rashun, Liwani Izzati, Izzathy Halil dan pemenang pertandingan ‘Berani Nyanyi’, Salif Hardie.
Acara itu akan dikemudikan oleh dua orang pengacara iaitu mantan DJ radio, Zaza Majid dan Khairudin Saharom.
Menurut Khairudin, selain pesakit barah, acara tahun ini akan turut memberi tumpuan kepada para penjaga mereka dan golongan yang memerlukan bantuan pos rawatan.
Ini sangat dekat dengan hatinya.
“Saya sendiri kehilangan ayah disebabkan barah. Jadi saya rasa apa yang dirasakan keluarga-keluarga ini dan saya terpanggil untuk memberikan sedikit bakti, menabur sedikit bakti agar kita sama-sama jadikan masyarakat ini lebih prihatin dan boleh membantu satu sama lain,” jelas Khairudin.
Walaupun sudah beberapa kali mengacarakan Projek Kasih, Khairudin masih teruja dipanggil dan ‘tidak cakap pasal bayaran’ sebelum menerima undangan itu.
Beliau berharap, kisah-kisah menyayat hati para penerima bantuan yang akan dikongsikan sepanjang rancangan dapat dijadikan iktibar.
“Di sebalik perasaan itu tersirat keperluan untuk kita bermuhasabah. Melihat bagaimana semangat jitu mereka boleh dijadikan sebagai sandaran untuk kita menghargai orang-orang di sekeliling kita, kesihatan kita dan juga untuk membakar semangat kita untuk membantu mereka, berdiri bersama mereka. Menjadikan masyarakat kita lebih kukuh dan lebih prihatin,” tambahnya.
Bagi acara tahun ini, Persatuan Ain berharap ia dapat mengumpulkan sebanyak S$600,000 – mengatasi jumlah yang terkumpul pada 2019 iaitu sebanyak S$511,630.
Penasihat Persatuan Ain, Presiden Halimah Yacob antara hadirin yang akan menyaksikan acara tersebut.
Orang ramai boleh menderma sehingga 15 Jun 2023 menerusi wadah-wadah berikut:
Paynow ke UEN: T00SS0163F
lelaman aindonate.sg/projekkasih2023.
Projek Kasih 2023 akan disiarkan secara langsung di Suria dan meWATCH pada Jumaat, 27 Januari 2023, 8.30 malam.
Jumlah derma diraih Konsert Projek Kasih di Suria:
2013 – $559,502
2014 – $528,707
2015 – $627,022
2016 – $626,485
2017 – $620,329
2018 – $738,636
2019 – $511,159