Pengagihan habuan Aidilfitri Persatuan Ain naik 32%, umum Jawatankuasa Pengurusan yang baharu

March 11, 2026

SINGAPURA: Tatkala bayi lain baru mengenal dunia dengan tangisan pertama dan pelukan keluarga, Myra Aqisha Mahadhir pula sudah memulakan perjuangannya melawan penyakit barah.

Pada usia enam bulan, Myra Aqisha disahkan menghidap Acute Myeloid Leukemia, di samping kondisi kesihatannya dengan Sindrom Down.

Tidak dapat menikmati zaman kanak-kanak seperti biasa, Myra Aqisha menghabiskan masa menjalani rawatan intensif termasuk beberapa kitaran kemoterapi yang memerlukan tempoh lama di hospital hanya pada usia setahun.

Sejak menyertai Persatuan Ain pada 2021, Myra Aqisha telah menjadi antara penerima bantuan Persatuan Ain.

Tahun ini, kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu sekali lagi menerima habuan Aidilfitri, kali ini dengan jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Myra Aqisha merupakan antara 675 pesakit barah yang menerima jumlah $300 serta kuih-muih semasa Majlis Pengagihan Habuan Aidilfitri 2026 anjuran Persatuan Ain pada Khamis (5 Mac).

JUMLAH BANTUAN AIDILFITRI PERSATUAN AIN NAIK 32%

Pengagihan Habuan Aidilfitri Persatuan Ain meningkat sebanyak 32 peratus tahun ini, dengan lebih $200,000 disalurkan kepada pesakit barah dan keluarga mereka menjelang Syawal.

Bagi ibu Myra Aqisha, Cik Arwati Alip, 48 tahun, beliau bersyukur atas jumlah bantuan yang lebih banyak pada tahun ini.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata: “Alhamdulillah syukur. Dapat membantu sana sini sebab anak-anak masih memerlukan susu dan lampin. Sedikit sebanyak ada juga bantu kita,” katanya.

Cik Arwati Alip, bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh Persatuan Ain. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Dr Haji Mohd Yusof Ismail, peningkatan tersebut didorong oleh bilangan pesakit barah yang semakin bertambah serta sumbangan masyarakat yang semakin memberangsangkan.

BILANGAN PESAKIT BARAH DAN KESEDARAN MASYARAKAT MENINGKAT

Mengulas pertanyaan Berita Mediacorp mengenai dorongan peningkatan itu, Encik Yusof berkata: “Bilangan pesakit barah di bawah naungan Persatuan Ain bertambah. Sejak tahun lalu hingga sekarang, hampir 200 pesakit baharu telah mendaftar dengan kami.”

Ini di samping “kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk membantu pesakit barah melalui sumbangan”.

Peningkatan sumbangan daripada masyarakat turut membolehkan persatuan itu menaikkan jumlah habuan kepada $300 bagi setiap penerima, tambah beliau.

Secara keseluruhannya, sebanyak $202,500 diagihkan kepada 675 penerima tahun ini.

Jumlah itu meningkat berbanding $153,040 yang diagihkan kepada sekitar 600 penerima pada 2025.

Pada tahun lalu, jumlah bantuan yang diterima berbeza mengikut kategori penerima, namun tahun ini semua penerima menerima kadar yang sama sebanyak $300, jumlah tertinggi setakat ini.

Menurut Encik Yusof, walaupun jumlah tersebut mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, bagi pesakit barah ia mampu memberi kelegaan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Ini kerana ramai pesakit perlu menggunakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk menampung kos rawatan, perbelanjaan harian serta tambang ulang-alik ke hospital,” tambahnya.

Selain membantu dari segi kewangan, beliau berkata bantuan tersebut juga bertujuan memastikan para pesakit tidak berasa bersendirian dalam menghadapi cabaran penyakit mereka.

Diadakan di Pusat Penjagaan Barah Serenity, Blok 9 Haig Road, majlis tersebut turut dihadiri mantan Presiden Singapura yang juga penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob.

Related article image
Bilangan pesakit barah di bawah naungan Persatuan Ain semakin bertambah. (Gambar: Persatuan Ain)

GALAS JAWATAN BAHARU SEBAGAI AMANAH

Di majlis itu juga, Persatuan Ain mengumumkan barisan anggota bagi Jawatankuasa Pengurusan untuk penggal dua tahun sehingga 2028.

Usahawan dan asatizah, Ustaz Muhammad Fizar Zainal dilantik menjadi Presiden baharu jawatankuasa itu, menggantikan Encik Bambang Sumaryono Ali .

Menganggap jawatan baharu itu sebagai satu amanah, Ustaz Fizar berkata: “Saya melihat ini bukan sebagai satu jawatan akan tetapi satu amanah yang besar untuk saya menggalasnya bersama barisan ahli lembaga pengarah lain.”

Apabila ditanya mengenai tumpuan utama tatkala menggalas jawatan baharu, beliau menekankan “melihat kesemua pesakit dan ahli keluarga secara menyeluruh”.

“Kami ingin memastikan bahawasanya mereka yang sedang melalui perjalanan yang sukar ini tidak merasa bersendirian,” jelas Ustaz Fizar.

Ini termasuk hadir bersama mereka, menyalurkan bantuan serta menyemai harapan dalam kalangan pesakit dan keluarga mereka.

Selain Ustaz Fizar, Persatuan Ain turut mempunyai barisan kepimpinan baharu iaitu:

Naib Presiden – Nur Farah Damri
Setiausaha – Ustaz Mohamed Nafis Abdul Rahman
Bendahari – Izammuddin Mohamed Ali
Penolong Setiausaha – Nur Shukrina Abdul Salam
Penolong Bendahari – Mohamed Faizul Othman.

Turut dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah ialah Dr Arif Uzair Mohamad Roslan, Norbayah Md Yasin, Hanafi Idrus @ Afi Hanafi, Megat Muhammad Taufiq Abdul Razak, Yatimatussalihah Rahmat, Norhashimah Kamarudin dan Nurul Huda Ma’arop.

Related article image
(Gambar: Persatuan Ain)

HALA TUJU BARISAN KEPIMPINAN BAHARU

Dengan barisan baharu ini, Ustaz Fizar berkata: “Kami hanya ingin melestarikan perjuangan mereka-mereka yang terlebih dahulu daripada kami untuk membantu Persatuan Ain dan pesakit yang berada di bawah naungannya.”

Antara tumpuan utama termasuk memastikan program sedia ada terus digiatkan, selain meningkatkan advokasi dan kesedaran tentang barah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Related article image
Persatuan Ain turut mengumumkan Jawatankuasa Pengurusan yang baharu pada Majlis Pengagihan Habuan Aidilfitri 2026. (Gambar: Batrisyia Kamal Baharim)

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa usaha membantu pesakit barah memerlukan sokongan seluruh masyarakat, bukan sekadar tanggungjawab segelintir pihak.

Justeru, satu lagi keutamaan adalah untuk meningkatkan jumlah para sukarelawan.

Ini lebih-lebih lagi kerana usaha tersebut “memerlukan sekampung” agar ia dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit barah dan keluarga mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.