Lebih 280 peserta sertai acara berjalan kaki global demi tingkat kesedaran barah

January 14, 2024

INGAPURA: Berjalan demi meningkatkan kesedaran tentang barah.

Itulah yang dilakukan lebih 280 peserta yang menyertai acara ‘World Cancer Walk’ pagi tadi (14 Jan) yang dikelolakan Persatuan Ain.

Persatuan Ain mewakili Singapura dalam inisiatif global untuk menyokong para pesakit, bekas pesakit barah dan keluarga mereka serta mengumpul dana bagi tujuan penyelidikan penyakit itu.

Acara berjalan kaki itu bermula di New Zealand dan berakhir di Hawaii.

Ia disertai peserta dari lebih 250 bandar dengan setiap bandar diberikan selama satu jam untuk berjalan.

Gabungan waktu itu akan ditambah secara kolektif hingga memenuhi tempoh 24 jam.

Para peserta di sini yang berpakaian berwarna ungu, berkumpul di stesen MRT Stadium sekitar 9.00 pagi sebelum berjalan sejauh 4.7 kilometer.

MASYARAKAT MAINKAN PERANAN PENTING

Acara itu turut disertai Penasihat Perubatan Persatuan Ain, Dr Fatimah Lateef yang menekankan pentingnya peranan masyarakat dalam memberikan sokongan kepada para pesakit barah.

“Masyarakat harus memberi sokongan yang padu untuk pesakit-pesakit barah dan keluarga mereka. Kita tidak harus ada persepsi yang salah ataupun stereotaip para pesakit barah sebab kadang-kadang kita sebagai manusia membuat persepsi yang tidak benar. Jadi kita harus berpandangan positif, membantu mereka , mengeratkan silaturahim dengan mereka dan keluarga mereka.

“Bagi para majikan dan pekerja-pekerja yang bersama dengan mereka di tempat sekolah dan sebagainya, berilah sokongan kepada mereka, ambil tahu dan faham keadaan mereka sebab ini amat bermakna kepada mereka,” ujar Dr Fatimah kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail pula berharap acara sebegitu dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang penyakit barah, sekali gus menggalak masyarakat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan awal.

“Harapan kami ialah untuk masyarakat umum lebih menyedari pentingnya membuat saringan kesihatan, terutama sekali saringan barah. Jadi ini memberi kesedaran bahawa buat masa ini belum ada satu pencegahan yang efektif bagi penyakit barah tetapi hanya melalui saringan kerana kesan awal, barah terkawal.” kata Encik Md Yusof.

Salah seorang peserta acara berjalan kaki pagi tadi ialah Cik Rosiah Hussen, 59 tahun, seorang pejuang barah payudara.

“Saya mahu lihat kemampuan saya berjalan ataupun tidak dari Kallang Wave Hingga ke Bendungan Marina. Saya ingin kuatkan semangat saya. Jadi saya ingin memberikan semangat kepada orang yang ramai. Kita ada barah pun masih bersemangat.”

Acara pagi tadi turut disertai wakil-wakil dari pertubuhan lain termasuk dari Masjid Darul Aman, Masjid Al-Iman dan Persatuan Ulama, Guru-Guru Agama Islam (PERGAS), Persatuan Barah Singapura (SCS), Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), Masjid Darul Makmur dan Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS).

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.