Konsert Projek Kasih kumpul jumlah rekod lebih S$1.4 juta

January 27, 2023

Konsert amal Projek Kasih 2023 oleh Persatuan Ain berjaya meraih kutipan derma sebanyak S$1,429,380

BERITAmediacorp: Edisi ke-8 konsert amal Projek Kasih berjaya kumpulkan S$1,429,380, melepasi sasaran awal Persatuan Ain iaitu sebanyak $600,000.

Kutipan tersebut adalah yang tertinggi pernah diraih sejak konsert amal itu diadakan sejak 2013.

Jumlah yang dikumpulkan pada tahun ini adalah lebih seganda lebih banyak daripada jumlah yang diraih pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Haji Md Yusof Ismail berkata: “Bagi pihak Persatuan Ain, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap sumbangan, dari setiap sudut, baik dari korporat, individu mahupun orang ramai.”

“Alhamdulillah, sumbangan yang diterima malam ini sudah melebihi jangkaan, malah memecahkan rekod,” tambah beliau.

Haji Yusof berkata, beliau berasa amat berbesar hati dengan sumbangan masyarakat pada masa ekonomi mencabar kini.

“Keadaan kita sekarang dengan gawat inflasi, dan ekonomi tidak begitu cerah. Maka itu, kami menetapkan sasaran kami pada S$600,000. Namun pada masa yang sama, kami amat yakin dan percaya masyarakat Singapura begitu pemurah selagi sesuatu badan itu telus dan nampak akan kesan kepada para penerima bantuan,” ujar Haji Yusof.

Haji Yusof berkata bahawa setiap sumbangan akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata: “Selain daripada membantu para pesakit barah dari segi kewangan dan sokongan, Kami juga melancarkan program untuk para penjaga mereka. Kami memahami para penjaga juga menghadapi tekanan emosi dan minda yang amat berat.”

“Kami meluaskan perkhidmatan kami di mana kami bekerjasama dengan badan-badan setempat untuk para pesakit atau mereka yang didiagnos dengan barah payu dara. Oleh kerana pandemik, maka kami terhenti buat seketika di mana kami menghentikan program kesedaran penyakit ini, maka kami akan meneruskan kembali program itu,” kata Haji Yusof.

Beliau turut mendedahkan bahawa Persatuan Ain sedang menjalankan kajian tentang pesakit barah daripada kumpulan etnik minoriti serta kesannya kepada keluarga mereka.

Jumlah derma diraih Konsert Projek Kasih di Suria:
2013 – $559,502
2014 – $528,707

2015 – $627,022
2016 – $626,485
2017 – $620,329
2018 – $738,636
2019 – $511,159

Kutipan derma diteruskan sehingga 15 Jun 2023 dan boleh dilakukan dengan cara-cara berikut
1) Paynow ke UEN: T00SS0163F
2) Lelaman: aindonate.sg/projekkasih2023

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.