Jumlah habuan Aidilfitri Persatuan Ain meningkat lebih 30% tahun ini

April 3, 2023

SINGAPURA: Jumlah wang tunai yang diagihkan kepada pesakit barah dan keluarga mereka di bawah naungan Persatuan Ain pada tahun ini meningkat sebanyak 33 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah yang diagihkan adalah antara S$120 hingga $350 bagi setiap keluarga, bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga berkenaan.

Habuan Aidilfitri itu diberikan setiap tahun bagi meringankan beban para pesakit barah dalam membuat persiapan menyambut Lebaran.

“Pada tahun lalu, kami mengagihkan sebanyak S$60,000. Kami menyemak semula bantuan kewangan bulanan kami kepada para pesakit barah kami dan juga habuan Hari raya dan kami dapati kami mampu untuk meningkatkan jumlah untuk bantuan kewangan bulanan dan jumlah yang mereka menerima untuk habuan Hari Raya. Keduanya, ialah kerana telah meningkatnya jumlah para pesakit barah yang baru menyertai program Persatuan Ain ini sebanyak 145 orang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain Md Yusof Ismail kepada BERITAmediacorp.

Bilangan pesakit barah yang menerima Habuan Aidilfitri Persatuan Ain tahun ini meningkat daripada 455 tahun lalu kepada 600 tahun ini.

30 daripada mereka menerima agihan tersebut daripada Presiden Halimah Yacob, yang merupakan Penaung Persatuan Ain di satu majlis pengagihan hari ini (3 April)

Salah seorang penerima yang bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan itu adalah Encik Abdul Rahman Abu Bakar.

Beliau merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi lima anggota keluarganya.

Encik Rahman menghadapi masalah kewangan dan emosi apabila anaknya Wiranto disahkan menghidap barah limfoma pada 2021.

Bak jatuh ditimpa tangga, tidak lama kemudian beliau sendiri disahkan menghidap barah kelenjar Timus.

Bagi persiapan Lebaran ini, Encik Rahman dan anaknya menerima bantuan bernilai $660.

“Habuan yang Persatuan Ain berikan untuk Aidilfiltri ini akan saya gunakan untuk perbelanjaan keluarga saya seperti membeli pakaian anak-anak saya dan untuk belanja harian,” kata beliau.

LAGI S$90,000 BANTU PESAKIT BARAH TANGANI INFLASI

Pada tahun ini, Persatuan Ain turut memperuntukkan S$90,000 untuk membantu pesakit barah dan keluarga mereka menghadapi kos sara hidup yang meningkat.

Ia menyasarkan untuk membantu 630 penerima dan wang tunai itu akan diagihkan pada bulan Jun dan November akan datang.

“Pada tahun ini kami perkenalkan satu skim yang untuk kita menangani inflasi dan ekonomi yang tidak mantap, untuk para pesakit barah untuk tahun ini menangani krisis kehidupan, kos sara kehidupan yang meningkat,” kongsi Encik Md Yusof.

Sebelum ini, Persatuan Ain mengagihkan S$150,000 untuk membantu para pesakit barah dan juga keluarga mereka yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.