Jumahri Jan, 76 tahun, pemenang terakhir Anugerah Qudwah Hasanah Persatuan Ain

June 17, 2023

Encik Jumahri Jan, 76 tahun, dipilih sebagai pemenang terakhir bagi Anugerah Qudwah Hasanah atau ‘Ayah Contoh Terbaik’ Persatuan Ain pada Sabtu (17 Jun).

SINGAPURA: Encik Jumahri Jan, 76 tahun, dipilih sebagai pemenang terakhir bagi Anugerah Qudwah Hasanah atau ‘Ayah Contoh Terbaik’ Persatuan Ain pada Sabtu (17 Jun).

Anugerah itu yang meraikan peran contoh baik dan tokoh inspirasi bagi golongan bapa disampaikan Presiden Halimah Yacob yang juga merupakan penaung Persatuan Ain.

DEDIKASI DIDIK ANAK SEHINGGA BERJAYA

Segala pengorbanan, semuanya dilakukan Encik Jumahri Jan, 76 tahun, demi anak-anaknya.

Sewaktu empat orang anaknya masih di bangku sekolah lagi, Encik Jumahri memberikan sokongan secukupnya agar mereka berjaya.

Sebelum penggal sekolah bermula, beliau sudah sibuk mendapatkan kertas-kertas ujian untuk mengulangkaji pelajaran bersama anak-anaknya.

Beliau sentiasa mengingatkan mereka untuk melakukan yang terbaik di sekolah.

Berkat dedikasi Encik Jumahri, semua anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Bahkan, pengorbanan untuk anaknya tidak berhenti di situ.

Akur bahawa anak-anaknya memerlukan wang dan dana untuk melanjutkan pelajaran, Encik Jumahri memutuskan untuk mendapatkan lesen memandu dan bekerja sebagai pemandu teksi sepenuh masa.

Ini meskipun bermakna beliau terpaksa keluar daripada persaraan.

Pengorbanan tidak terhingga Encik Jumahri diiktiraf dan dipilih sebagai pemenang anugerah bapa contoh terbaik, atau Anugerah Qudwah Hasanah oleh Persatuan Ain.

Encik Jumahri berkata: “Usia saya sudah senja, 76 tahun. Ia memberi perangsang kepada bapa-bapa lebih muda untuk meneruskan perjuangan baik untuk membantu keluarga dan anak-anak walau apa sekalipun perancangannya.”

“Kita tunjukkan cara yang baik dan menonjol dengan cara yang penuh ihsan dan sedia membantu sesiapa yang memerlukan nasihat kita,” tambah beliau.

Encik Jumahri antara lain menerima wang tunai sebanyak S$3,000.

Beliau juga dipilih kerana banyak menyumbang kepada masyarakat.

Encik Jumahri antara lain telah menubuhkan satu kumpulan masyarakat di Choa Chu Kang yang memberi sokongan kepada para penduduk di kawasan itu yang kehilangan anggota keluarga tersayang.

Para finalis lain bagi anugerah Qudwah Hasanah ialah Encik Mohd Saim Maarof dan Encik Muhammad Razi Harun.

Mereka masing-masing menerima wang tunai sebanyak S$500.

ANUGERAH QUDWAH HASANAH TERAKHIR, PERSATUAN AIN LANCARKAN INISIATIF BARU

Penganugerahan yang diberikan Persatuan Ain itu melabuhkan tirainya tahun ini, selepas 10 edisi.

Ia pertama kali diperkenalkan pada 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail berkata: “Tahun ini yang terakhir kita anjurkan Anugerah Qudwah Hasanah sebab ada banyak perubahan dari segi perkembangan gerakan bapa yang mempromosikan program dan kegiatan kebapaan serta menitikberat hal ehwal ayah.”

Encik Yusof berkata beliau berasa amat berbangga dengan nilai-nilai murni yang diterapkan di dalam diri setiap pemenang anugerah Qudwah Hasanah.

“Apa yang kami dapati, kesemua ayah-ayah Qudwah Hasanah sepanjang 10 edisi, mereka mempunyai satu ciri sama iaitu ciri tidak mengenal erti putus asa, mereka bekerja keras.”

Dengan anugerah Qudwah Hasanah yang terakhir diberikan pada Sabtu (17 Jun), Persatuan Ain akan membuka lembaran baru dan meningkatkan usaha dan tumpuan kepada para pesakit barah.

Ini akan dimulakan dengan pelancaran kempen meningkatkan kesedaran mengenai barah sepanjang tiga bulan setiap tahun pada bulan depan.

Encik Yusof berkata: “Semakin hari, pesakit barah semakin meningkat di bawah naungan kami. Kami mulakan program menyantuni pesakit barah hanya dengan lima pesakit. Hari ini sudah ada lebih 1,500 pesakit barah di bawah naungan kami.”

“Mereka yang dirujuk kepada kami, selepas didiagnos dengan barah tahap lanjut. Ini jelas menunjukkan, dan dikuatkan lagi dengan kajian yang menunjukkan kaum Melayu/Islam adalah yang terendah sekali dari segi membuat saringan kesihatan, khususnya saringan untuk mengenal barah pada peringkat awal,” tambah Encik Yusof lagi.

Justeru, kempen tersebut bertujuan untuk menggalak masyarakat untuk membuat pemeriksaan secara kerap bagi tiga jenis barah iaitu barah payudara, barah usus kolorektal dan barah pangkal rahim.

Encik Yusof berkata: “Ia akan berlangsung selama tiga tahun berturut-turut dan akan diadakan selama tiga bulan. Harapan kami agar masyarakat Melayu mengambil inisiatif membuat saringan barah.”

“Sejak kita menjalankan kajian mengenai barah di Singapura, kita menyedari ada keperluan mendesak untuk mendidik dan menggalak masyarakat Melayu/Islam untuk membuat pemeriksaan barah secara kerap,” jelas Encik Yusof.

Dalam pada itu, Encik Yusof juga menerangkan bahawa Persatuan Ain merancang untuk memberi lebih banyak sokongan kepada golongan berpendapatan rendah bagi kempen tersebut.

“Walaupun sudah diberikan subsidi oleh pemerintah, kita akan membantu mereka daripada subsidi kami sendiri untuk mengimbangi apa yang sudah diberikan pemerintah, supaya mereka tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membuat saringan barah,” ujar Encik Yusof.

Pelancaran kempen kesedaran barah yang akan dilancarkan Persatuan Ain dan disokong Mediacorp, serta badan-badan lain seperti Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), Persatuan Barah Singapura (SCS), Yayasan Barah Payudara (BCF) Singapura, dan 365 Persatuan Pencegahan Barah (365CPS).

Follow Us