600 pesakit barah terima habuan Raya Persatuan Ain

April 4, 2023

PERSATUAN AIN telah mengagihkan sejumlah $80,000 kepada 600 pesakit barah dan keluarga mereka sempena menjelangnya perayaan Hari Raya.

Jumlah ini adalah 33 peratus lebih tinggi daripada 2022.

Setiap benefisiari menerima habuan Hari Raya yang merangkumi kuih-muih dan wang tunai berjumlah sehingga $350.

Daripada 600 benefisiari itu, seramai 30 benefisiari telah hadir di Pusat Penjagaan Barah Serenity Persatuan Ain di Haig Road pada 3 April untuk pengagihan habuan Hari Raya.

Turut hadir di acara itu selaku tetamu terhormat ialah Presiden Halimah Yacob yang membantu menyampaikan habuan Hari Raya dan telah berinteraksi dengan benefisiari.

Bercakap kepada Berita Harian, ketua pegawai eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada pelbagai pihak.

“Saya berterima kasih kepada penaja-penaja kami yang turut membantu dan pada masa yang sama menceriakan semangat pesakit barah dengan habuan yang diterima,” kata beliau.

Antara benefisiari itu ialah Encik Abdul Rahman Abu Bakar, 60 tahun, yang telah didiagnos dengan barah paru-paru sejak 2021.

Beliau mendapat tahu mengenai Persatuan Ain sejak 2022, selepas melakukan pembedahan membuang tumor di bahagian lehernya.

“Persatuan Ain telah banyak membantu saya dan keluarga. Kami amat menghargai pertolongan mereka,” ujar beliau yang kini sudah tidak bekerja.

“Setiap bulan, mereka akan menghantar barangan seperti makanan dan menyumbang wang ulang-alik saya dari rumah ke klinik, dan ini meringankan kos perbelanjaan keluarga kami,” ujar ayah kepada tiga anak berusia antara 16 hingga 21 tahun. Anak sulungnya merupakan seorang anak istimewa yang mempunyai sindrom Down.

“Setiap hari saya berdoa kepada Allah agar berikan saya kekuatan dan kesihatan, supaya dapat menjaga keluarga saya ini meskipun menghidapi penyakit barah,” tambah beliau.

Antara lain, ini juga kali pertama Persatuan Ain menjemput penaja untuk hadir dan menyampaikan sumbangan mereka kepada benefisiari.

Dua penaja utama persatuan itu ialah Singapore Island Country Club dan Pos TKI.

Menurut pengurus besar SICC, Encik Steven Thielke, beliau berkata:

“Di SICC, kami juga melakukan pelbagai inisiatif untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Kami ingin bersedia dan sentiasa menyokong masyarakat dan badan amal setempat, serta inisiatif dan kegiatan sosial mereka.”

Ini merupakan tahun yang ke-enam SICC telah menghulurkan bantuan bersama Persatuan Ain.

Bagi pengarah pengurusan Pos TKI, Encik Mohamed Anwar Tahar, ini merupakan kali pertama Pos TKI bekerjasama dalam menyumbang kepada Persatuan Ain.

“Kami harap ini adalah tanda permulaan untuk terus berganding bahu dan memberi sumbangan kepada Persatuan Ain,” ujar beliau.

Antara lain, Persatuan Ain juga telah mengetepikan lagi $90,000 untuk diagihkan kepada benefisiari mereka pada Jun dan November tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu pesakit menghadapi kadar inflasi yang tinggi dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Matlamat Persatuan Ain ialah untuk meringankan masalah yang mungkin dihadapi pesakit barah daripada aspek kewangan. Justeru kami ingin membantu sebanyak mungkin agar pesakit dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk pulih,” tambah Encik Md Ismail.

Follow Us