SINGAPURA: $21,000 berjaya dikumpulkan menerusi satu pertandingan sepak takraw amal bagi mengumpul dana untuk menyokong pesakit barah serta keluarga mereka.
Sepak Takraw Amal Piala Othman Wok yang dianjurkan sebuah inisiatif oleh sekumpulan rakan SPOrt Cancer untuk Persatuan Ain, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya saringan awal mengesan barah melalui acara sukan.
Lebih 300 peserta bertanding dalam tiga kategori Sepak Takraw Amal Piala Othman Wok yang diadakan di Wisma Geylang Serai sepanjang hujung minggu ini (1 Nov – 2 Nov).
“Penyertaan mereka dalam acara ini sangat kuat impaknya, terutama bagi mereka yang pernah mengalami barah ataupun pengasuh, ada yang pasangan mereka meninggal dunia. Bagi kami, bila kami mengadakan acara ini, ianya memberi sokongan baik kepada mereka untuk teruskan hidup dan memberi sokongan kepada mereka yang sakit. Dan kami juga harapkan bagi mereka yang pulih daripada penyakit ini dapat sama-sama sertai kami dalam acara-acara sukan yang lain,” ujar Penganjur, Sepak Takraw Amal Piala Othman Wok, SPOrT Cancer, Encik Iskandar Wachi.
Bagi para peserta yang terdiri daripada para pesakit dan bekas pesakit barah serta pengasuh pesakit, acara ini menyuntik semangat untuk meneruskan perjuangan melawan barah.
“Ia boleh membuat kesedaran pada orang ramai yang inisiatif-inisiatif seperti ini yang membantu pesakit-pesakit kanser itu ada. Jadi ada saluran-salurannya untuk membantu. Dan juga saringan awal akan membantu kita untuk mengambil langkah-langkah seterusnya untuk memulihkan diri. Sokongan mereka akan terus membuat saya hendak melawan kanser ini. Dan juga memberi semangat pada saya untuk terus berjuang,” ujar Encik Adly Esmadi Rahman, 57 tahun, bekas pesakit barah.

“Apabila kita menjaga pesakit kanser ataupun barah ini, kita harus bersikap positif. Pasal orang yang sakit ini dia sentiasa macam murung. Tapi Alhamdulillah arwahnya – dia seorang yang positif. Dia seorang yang suka ceria sentiasa. Sakit dia pun dah kira lebih 20 tahun. Jadi kita kena bantu dia – beri dia kekuatan – secara emosi dan juga jasmani,” kongsi Encik Muhammad Salleh Abdul Rahman, 57 tahun yang pernah mengasuh arwah isterinya, penderita sakit barah sepanjang 20 tahun.
SEMPENA SG60, MEMPERINGATI TOKOH MASYARAKAT YANG MEMAJUKAN SEPAK TAKRAW
Lebih dari itu, usaha pertandingan ini juga memberi penghargaan kepada seorang pemimpin masyarakat, mantan Menteri Ehwal Sosial juga Kebudayaan Allahyarham Othman Wok, yang pernah memajukan sukan sepak takraw.
“Sempena tahun ini tahun sambutan SG60, ini adalah antara sukan yang dipelopori oleh Encik Othman Wok, iaitu Piala Othman Wok pada tahun 1980-an. Waktu itulah sepak takraw di Singapura di kemuncaknya. Jadi, kita ingin kembalikan suasana itu sekarang,” ujar Encik Iskandar.
Lantas penganjurannya boleh dianggap bak usaha mempertahankan budaya dan permainan warisan yakni sepak takraw.
“Acara hari ini adalah sesuatu yang boleh kita contohi. Ia menggabungkan beberapa badan amal yang bekerjasama untuk misi yang membina masyarakat.
SPOrT Cancer bekerjasama dengan Persatuan Ain dan pada masa yang sama juga menyulamkan minat kepada sukan untuk meraih dana. Jadi, saya harap lebih ramai badan-badan amal cuba meneroka cara-cara yang kita boleh kerjasama demi misi yang kita kongsi,” ujar tetamu kehormat, Anggota Parlimen GRC East Coast, Hazlina Abdul Halim.
Regu Yishun ST A merangkul juara bagi kategori ‘Terbuka’ dan membawa pulang hadiah $400 beserta pingat dan trofi; manakala kategori ‘Masters’ yang melibatkan peserta warga emas digenggam regu Bishan East Sin Ming; dan Team Random menang kategori Belia; dengan kedua-dua regu ‘Masters’ dan Belia membawa pulang hadiah $200, pingat dan trofi.


Ekoran kejayaan acara ini, pihak penganjur berhasrat untuk meneruskan usaha sedemikian yang kini sudah masuk tahun ketiga.
“Tidak semestinya sukan sepak takraw sahaja. Kita juga akan mengadakan sukan-sukan yang lain yang bukan tradisional. InsyaAllah kita akan adakan dan teruskan,” kongsi Encik Iskandar.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq