SINGAPURA: Konsert Irama Perjuangan menjadi kemuncak kepada kempen tiga tahun Persatuan Ain bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pemeriksaan saringan barah dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura.
Konsert itu menutup perjalanan panjang usaha Persatuan Ain menekankan pentingnya masyarakat bersikap proaktif dalam menjaga kesihatan, dengan pendekatan yang lebih lebih mesra dan santai.
Ia diharap dapat menghapus stigma, membuka ruang perbincangan, serta menarik perhatian generasi muda dan keluarga agar lebih prihatin terhadap kesihatan.
“Judul Irama Perjuangan dipilih kerana ia melambangkan semangat juang pesakit barah dan penjaga mereka. Pada masa yang sama, ia menggalakkan masyarakat untuk melakukan saringan barah melalui penyampaian mesej yang dibalut dengan muzik yang menginspirasi serta menyentuh hati,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail.
Encik Yusof menekankan, konsert itu bertujuan mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya menjalani ujian saringan barah.
“Selain persembahan artis, konsert ini turut diselangi dengan video-video pendidikan mengenai saringan barah, bagi menggalakkan penonton mengambil langkah awal. Diharapkan juga penonton dapat menyebarkan mesej ini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, agar kesedaran tentang kepentingan saringan barah dapat diperluas,” ujar Encik Yusof.
“Ramai dalam kalangan masyarakat kita masih berasa takut untuk menjalani saringan barah. Melalui konsert ini, kami ingin menyampaikan mesej bahawa saringan barah itu penting, mudah dilakukan, dan boleh menyelamatkan nyawa. Hiburan menjadi jambatan untuk kita mengetuk pintu hati masyarakat agar lebih terbuka menerima mesej kesihatan,” tambahnya lagi.
ARTIS SERANTAU GESA PEMINAT JANGAN TAKUT JALANI PEMERIKSAAN AWAL CEGAH BARAH

Sekitar seribu penonton hadir menyaksikan konsert yang menampilkan barisan artis serantau seperti Mimifly dan Liza Aziz dari Malaysia, Hetty Koes Endang dan anaknya Afifah Yusuf dari Indonesia serta penyanyi Hady Mirza.
“Sumbangan para artis dalam menjayakan konsert ini amat bernilai kerana mereka bukan sahaja memberikan persembahan yang menghiburkan, malah turut menjadi suara penting dalam menyebarkan mesej kesedaran tentang kepentingan saringan barah. Dengan pengaruh serta jumlah pengikut yang ramai, para artis berupaya menggalakkan peminat mereka untuk lebih prihatin terhadap kesihatan,” kata Encik Yusof.
Kalangan artis undangan turut menjadi peran contoh dan sama-sama berjuang membantu menekankan mesej yang boleh menyelamatkan nyawa.
“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada peminat untuk bersama-sama membantu pesakit barah dengan menyebarkan kesedaran dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan,” luah bintang tempatan dan serantau, Hady Mirza.
“Saya mengambil berat tentang kesihatan dan sudah menjalani pemeriksaan berkala termasuk saringan barah. Saya percaya pencegahan lebih baik daripada rawatan,” kata penyanyi Liza Aziz.
“Saringan awal sangat penting kerana ia boleh menyelamatkan nyawa. Mimi harap peminat-peminat juga menjadikan pemeriksaan kesihatan ini sebagai satu amalan,” tegas Mimifly.
HASIL KUTIPAN KONSERT DISALURKAN BANTU LEBIH 700 PESAKIT

Bagi Cik Ruhana Salleh, seorang pesakit barah ovari tahap lanjut yang disahkan menghidap penyakit itu sejak Mei 2014, konsert tersebut memberi ruang untuknya melupakan sejenak cabaran yang dihadapinya.
“Bagi saya, muzik bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia juga merupakan satu bentuk terapi yang berkesan, khususnya bagi mereka yang benar-benar mencintai seni ini. Muzik membantu saya melupakan sejenak kesakitan yang ditanggung. Ia memberikan ketenangan, mengurangkan tekanan, dan membolehkan saya menjalani hari-hari yang sukar dengan lebih tenang,” luah Cik Ruhana yang kini menjalani rawatan paliatif bagi melegakan kesakitan akibat barah.
“Selepas ini, Persatuan Ain merancang untuk memperkukuhkan usaha melalui beberapa inisiatif utama, antaranya menjalankan penyelidikan tentang penjagaan paliatif, memperkasa kumpulan sokongan untuk pesakit dan penjaga, serta terus menggalakkan saringan barah melalui pendekatan kreatif seperti hiburan. Selain itu, sebuah doku-drama bertajuk Pelita akan mula disiarkan di televisyen pada September 2025, yang diharap dapat memberi inspirasi serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perjalanan pesakit barah,” kata Encik Yusof.
Hasil kutipan daripada konsert tersebut akan disalurkan kepada program-program Persatuan Ain, termasuk bantuan kewangan kepada lebih 700 pesakit barah yang berdaftar dengan persatuan itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ay