SINGAPURA: Penyanyi Hady Mirza telah dilantik sebagai duta pertama Persatuan Ain dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit barah serta memberi sokongan kepada mereka yang terjejas.
Persatuan Ain berharap pelantikan penyanyi itu dapat membantu menghapuskan stigma terhadap pemeriksaan kesihatan dan menggalakkan masyarakat mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesejahteraan diri.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Md Yusof Ismail, menyatakan bahawa Hady Mirza berhasrat untuk menyumbang kepada masyarakat dan menggunakan pengalamannya bagi memberi inspirasi kepada mereka yang menghadapi cabaran kesihatan.
“Kita tahu Hady Mirza merupakan seorang figura atau ikon yang terkenal, lebih-lebih lagi kepada para remaja. Hady Mirza sendiri melalui berbagai cabaran dalam hidup beliau. Tetapi bagaimana beliau memanfaatkan pengalaman yang pahit menjadi sesuatu pendorong untuk beliau mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Jadi ini juga boleh memberi dorongan kepada para pesakit barah yakni jangan mudah putus asa, jangan mudah putus harap dan terus berjuang,” ujar Encik Md Yusof.
Kerjasama antara Persatuan Ain dan Hady Mirza menegaskan komitmen bersama dalam memperkasa kesedaran kesihatan masyarakat serta menyokong pesakit barah dalam perjuangan mereka.
PENGALAMAN PERIBADI JAGA IBU
Pengalaman peribadi menjaga ibu yang menghidap barah telah memberi Hady Mirza pemahaman mendalam tentang cabaran yang dihadapi pesakit serta keluarga mereka.
“Saya akan mengongsikan pengalaman saya bersama ibu saya yang menghidapi penyakit barah dan bagaimana beliau mampu untuk kembali pulih serta perasaan yang kami lalui pada hari-hari yang susah.
“Jika saya rasa mengongsikan pengalaman itu kepada orang ramai mungkin ia dapat membantu memberikan mereka kesedaran untuk lakukan saringan awal bagi penyakit barah,” katanya.
Hady Mirza turut menekankan kepentingan sokongan emosi dan fizikal kepada pesakit barah, sesuatu yang beliau dan isterinya sendiri berikan sepanjang tempoh sukar menjaga ibu mereka.
“Untuk saya dan juga isteri saya, kami sentiasa berada di sisi ibu saya. Saya rasa itulah salah satu perkara yang sangat penting untuk kami memberikan sokongan kepada seseorang yang menghidap penyakit barah,” ujar beliau.
Selain pengalaman peribadi, penglibatannya dalam konsert anjuran Persatuan Ain seperti Projek Kasih pada tahun 2019, 2023, dan 2025 turut menjadi pemangkin kepada keputusannya menerima peranan sebagai duta persatuan itu.
Sebagai duta, Hady akan mendekati masyarakat melalui pelbagai kempen kesedaran, berbual secara langsung dengan pesakit barah, serta menyokong inisiatif Persatuan Ain dalam memberi harapan dan motivasi kepada mereka yang memerlukan selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan saringan kesihatan awal.
JUMLAH AGIHAN HABUAN AIDILFITRI TAHUN INI LEBIH TINGGI BERBANDING 2024
Tahun ini, Persatuan Ain mengagihkan S$153,040 kepada 600 penerima bantuan dalam habuan Aidilfitri, mencatat peningkatan 17 peratus berbanding S$130,000 yang diagihkan tahun lalu.
Menurut Encik Md Yusof, peningkatan dana itu didorong oleh keberkesanan kempen tahun ini serta sokongan yang lebih besar daripada para peniaga dan badan-badan korporat.
“Alhamdulillah, kita kalau perhatikan sebenarnya mungkin kempen kita pada tahun ini lebih berkesan. Satu yang nyata ialah tahun ini kita banyak mendapat sumbangan dan sokongan daripada badan-badan korporat dan juga daripada para peniaga dan daripada orang ramai,” kata beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran masyarakat tentang kepentingan membantu pesakit barah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah sumbangan yang diterima.
“Masyarakat kita mungkin lebih sedar tentang pentingnya memberi sokongan kepada para pesakit barah kerana seperti yang kita tahu kalau di Singapura ini menghidap sebarang penyakit, kos rawatannya begitu tinggi dan juga kos kehidupan makin hari makin meningkat,” ujar beliau.
Seramai 50 penerima bantuan menerima agihan habuan Aidilfitri daripada Penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob, dalam satu majlis yang berlangsung pada Isnin (10 Mac) di Serenity Cancer Care.
Dalam ucapannya, Puan Halimah menzahirkan harapan agar para pesakit barah terus berjuang dan tidak berputus asa dalam menghadapi cabaran penyakit mereka.
“Saya mahu mereka (para pesakit barah) untuk jangan berputus asa. Penyakit barah ini bukanlah penyakit ringan, ia penyakit yang berat dan juga penyakit yang berlarutan. Kadang kala kita lihat pesakit barah, kadang mereka telah pun baik tetapi mereka ‘relapse’ dan sebagainya. Bersabar dan yang penting saya rasa ramai dalam masyarakat yang menyokong kebajikan mereka dan prihatin tentang keperluan mereka,” kata Puan Halimah.

DANA PRIHATIN COLCARE DILANJUTKAN
Persatuan Ain turut mengumumkan bahawa Dana Prihatin COLcare (Cost of Living Care Fund), yang dilancarkan tahun lalu, akan dilanjutkan pada tahun ini dengan jumlah unjuran sebanyak S$108,000.
Dana itu akan diagihkan pada suku keempat 2025 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 600 penerima bantuan.
Selain itu, Persatuan Ain juga merancang untuk mengagihkan S$700,000 tahun ini menerusi pelbagai skim bantuan kewangan.
Dalam pada itu, Persatuan Ain menggesa orang ramai khususnya masyarakat Melayu/Islam supaya mengutamakan kesihatan dengan menjalani pemeriksaan awal penyakit barah secara berkala demi meningkatkan peluang rawatan dan pemulihan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa