Jumlah dana lebihi $150,000 dihulurkan tahun ini, kenaikan sebanyak 17% daripada 2024
Sebelum ini, keluarga Muhammad Nawfal Muttaqin Muhammad Nasri berdepan tekanan kewangan yang semakin perit dalam mengurus keperluan perubatannya, kos pengangkutan serta perbelanjaan harian.
Penyakit barah otak yang dihadapinya sejak November 2022 memerlukan lawatan hospital yang kerap, dan keperluan untuk pengangkutan yang selamat serta terasing selepas trakeostomi menambah beban kewangan mereka.
Sejak menerima bantuan daripada Persatuan Ain pada Jun 2023, keluarganya dapat mengurangkan sebahagian tekanan ini, menjimat sekitar $500 sebulan.
Nawfal Muttaqin, yang berusia lapan tahun, adalah antara 50 benefisiari yang menerima habuan Aidilfitri – wang tunai bernilai $250 serta sebuah beg mengandungi makanan bernilai $50 – pada 10 Mac.
Lebih 600 benefisiari menerima bantuan tersebut pada 2025 dengan jumlah dana melebihi $150,000, mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus daripada 2024.
Diadakan di Pusat Penjagaan Barah Serenity, Blok 9 Haig Road, majlis tersebut turut dihadiri mantan Presiden Singapura yang juga penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas majlis itu, ibu Nawfal Muttaqin, Cik Dayangku Nurafiqahwinaini, 31 tahun, berkata:
“Pada mulanya, kami tidak menyangka kami akan memerlukan sokongan sebegini. Namun, selepas prosedur trakeostomi pada Julai 2023, kami perlu mengasingkannya bagi mengelakkan jangkitan, dan teksi menjadi pilihan pengangkutan paling selamat untuk mengurangkan risiko itu.
“Sebelum ini, kami membelanjakan sekitar $500 sebulan untuk keperluan perubatannya, termasuk kos pengangkutan yang tinggi jika menggunakan teksi.”
Bantuan kewangan yang diterima merangkumi Care Fund sebanyak $250 setiap bulan, manakala tuntutan atau claim boleh dilakukan bagi pengangkutan dan pendidikan.
Bukan sahaja ia meringankan beban kewangan keluarga, malah ia memberi kelegaan kepada suaminya, pencari nafkah tunggal, dan membolehkannya menggunakan wang yang dijimatkan untuk keperluan lain, kongsi ibu kepada tiga anak lelaki yang menambah bahawa habuan itu adalah sokongan tambahan yang membantunya berjimat lebih lagi.
Persatuan Ain, dalam kenyataannya pada 10 Mac, berkata: “Bagi Ramadan kali ini, lebih 600 penerima akan menerima Habuan Aidilfitri, dengan jumlah dana mencecah $153,040.
“Jumlah itu merupakan peningkatan 17 peratus daripada $130,000 pada 2024.”
Dana tersebut dikumpulkan sepanjang tahun lalu melalui sumbangan derma, zakat, dan kempen kutipan dana yang masih berlangsung, kongsi persatuan itu.
Majlis tahunan itu bertujuan mengagihkan habuan kepada penerima yang memerlukan bantuan kewangan sebagai persediaan untuk perayaan tersebut.
“Melalui pemberian ini, ia diharap dapat meringankan sebarang kekangan kewangan yang dihadapi oleh pesakit barah dan keluarga mereka,” tambah persatuan itu lagi.
Dalam masa yang sama, Dana ColCare (Dana Penjagaan Kos Sara Hidup) yang diperkenalkan pada 2024 akan dilanjutkan untuk setahun lagi dengan anggaran peruntukan sebanyak $108,000 bagi membantu sekitar 600 penerima, umum Persatuan Ain.
Dana tersebut akan diagihkan pada suku keempat 2025.
Di samping itu, sebanyak $700,000 disalurkan melalui pelbagai skim bantuan kewangan.
Secara keseluruhan, jumlah anggaran bantuan yang akan disalurkan bagi 2025 adalah sebanyak $961,040.
Turut diumumkan ialah duta pertama persatuan tersebut, penyanyi terkenal, Hady Mirza, yang akan memikul peranan dalam meningkatkan kesedaran mengenai barah serta menggalak pemeriksaan awal, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.