Sekitar enam tahun lalu, Siti Asmaniah Nasiruddin, 70 tahun, disahkan menghidap penyakit barah usus dan kini beliau perlu menggunakan beg stoma.
Meskipun demikian, beliau cekalkan diri untuk menjaga anak lelakinya, 45 tahun yang menghidap penyakit ‘Cerebral palsy’ sejak berumur dua tahun.
Anak lelakinya itu memerlukan perhatian dan bantuan sepenuhnya untuk menjalankan tugas seharian seperti mandi, makan dan menggerakkan tubuh badan.
Di samping itu, Cik Siti juga menjaga suami dan ibunya yang juga mengalami penyakit kronik seperti masalah jantung dan penyakit ginjal.
Namun, penyakit yang ditanggungnya itu tidak mematahkan semangat dan tekad Cik Siti untuk terus bangkit dan tabah menjaga orang yang tersayang dengan sempurna.
Sikap tabah dan teguhnya itu diiktiraf dalam edisi keenam acara sambutan Hari Ibu Persatuan Ain yang diadakan di Concorde Hotel pada Sabtu (25 Mei).
Lebih teruja lagi, Cik Siti menerima piala pusingan itu daripada Puan Halimah Yacob sendiri yang merupakan Penaung Persatuan Ain.
“Syukur Alhamdulillah. Saya mendapat anugerah yang terbaik insya-Allah sebab kita pun bukannya mengharap. Kita hanya ingin luahkan perasaan untuk keluarga sendiri. Siapa yang ada penyakit macam saya ini insya-Allah kita tabah saja untuk kemenangan kita untuk penyakit ini.
“Tabahnya, kuatnya sebab kita hendak untuk diri kita sendiri untuk kebaikan kita. Kita doa sahajalah yang baik untuk kita tugaskan anak-anak suami dan untuk diri kita sendiri. Jadi apa-apa kita kuatkan iman kita, nawaitu yang kita hendak untuk kesihatan diri kita insya-Allah,” kongsi Cik Siti kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Cik Siti berkongsi bahawa menjaga ahli keluarga adalah satu amanah dan tanggungjawab baginya.
Malah, semasa menjalani rawatan bagi penyakit barah, beliau tekun membahagikan masa antara rawatan dan tanggungjawab sebagai seorang penjaga.
SAMA-SAMA TERLIBAT DALAM PROGRAM/ACARA PERSATUAN AIN
Selepas setahun disahkan menghidap barah usus, Cik Siti mendaftar dengan Persatuan Ain.
Sejak itu, beliau aktif melibatkan diri dalam acara-acara dan program-program anjuran persatuan itu.
Cik Siti juga cuba sedaya upaya untuk mengajak dan mengumpulkan ahli kumpulan yang lain untuk melibatkan diri dalam acara-acara sedemikian.
“Bukan hanya beliau tabah dalam menghadapi dan mengharungi tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan seorang pesakit tetapi beliau tidak pernah mengabaikan dirinya sendiri dan beliau turut mengikuti apa-apa juga kelas, kumpulan sokongan yang ada demi untuk meningkatkan jati diri, meningkatkan semangat juang beliau untuk terus hidup dan bukan hanya berbakti kepada diri sendiri malahan kepada ahli keluarga dan masyarakat,” kata Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Yusof Ismail.
Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah S$1,000, sebuah trofi dan baucar berserta pek habuan daripada para penaja.
LEBIH 300 TETAMU HADIR RAIKAN GOLONGAN IBU YANG HIDAPI BARAH
Dedikasi dan ketabahannya juga memberi inspirasi kepada lebih 300 hadirin majlis Hari Ibu Persatuan Ain bagi para pesakit barah dan penjaga mereka.
Selain jamuan makanan, para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.
Edisi keenam acara itu juga diadakan pada skala yang besar tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kami telah melakukan acara-acara sambutan Hari Ibu ini dan penganugerahan Ibu Tabah adalah sebanyak 4 atau 5 kali sebelum ini tetapi dalam skala yang kecil iaitu sesama pesakit barah sendiri di Persatuan Ain.
“Salah satu matlamat program ini ialah untuk mereka (pesakit) kembali kepada masyarakat setelah menjalani rawatan kerana memang lumrah para pesakit barah apabila menjalani rawatan, rambut mereka gugur, perubahan kepada fizikal mereka, mereka kurang keyakinan untuk bergaul dengan masyarakat,” kongsi Encik Yusof.
Bagi mengiktiraf lebih ramai pesakit barah atas jasa dan pengorbanan mereka, Persatuan Ain akan membuka pencalonan kepada semua pesakit barah tahun depan dan bukan untuk kliennya sahaja seperti sebelum ini.