SINGAPURA: Menyusuli pengumuman Presiden Halimah Yacob untuk tidak bertanding bagi Pilihan Raya Presiden seterusnya, kata-kata sanjungan dan penghargaan datang mencurah-curah bagi jasa dan sumbangan beliau.
Antaranya termasuk baktinya dalam menjaga hak wanita.
Selain pekerja wanita, presiden wanita pertama Singapura itu juga lantang bersuara mempertahankan hak-hak kaum hawa secara umumnya.
Ini termasuk menggesa sebuah saluran podcast ‘OkLetsGo’ memohon maaf kepada kaum wanita atas komen-komen yang menyinggung perasaan, memalukan dan misoginistik terhadap wanita.
Ini mencerminkan tekad dan komitmen Puan Halimah dalam mewujudkan budaya yang saling menghormati tidak kira kaum, agama mahupun jantina.
“Tindakan yang diambil oleh Presiden Halimah sebenarnya berlandaskan tujuan utama beliau iaitu untuk menyatukan masyarakat Singapura dan menegaskan pentingnya untuk kita sama-sama saling menghormati dan juga menyokong kaum wanita,” kata Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.
Selain itu, Puan Halimah juga aktif dalam usaha-usaha memperkasakan golongan wanita termasuk mereka yang kurang berkemampuan.
Sebagai penaung Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) selama lebih dua dekad, Puan Halimah banyak menyumbang masa dan tenaganya kepada usaha-usaha badan tersebut.
“Beliau sering meluangkan masa untuk menziarahi pusat-pusat serta klien-klien kami dan beliau ikhlas ingin mengetahui apakah perkembangan terkini dan keakraban ini seakan-akan memberi kita semangat dan juga sokongan PPIS meneruskan misi kami untuk menyokong wanita mencapai aspirasi dan juga untuk memperkukuhkan institusi keluarga,” ujar Cik Hazlina.
Pencapaian Presiden Halimah sebagai presiden wanita pertama negara ini tambah Cik Hazlina wajar dijadikan sebagai inspirasi kepada kaum hawa di Singapura.
“Bagi kami di PPIS, paling penting sekali ialah beliau ini mengingatkan wanita-wanita Singapura, kita boleh mengatasi batasan terhadap cabaran dengan kegigihan dan juga kecekalan.
“Sebagai seorang pemimpin, Presiden Halimah, secara konsisten telah pun memperjuangkan pembangunan dan juga peningkatan wanita. Beliau percaya akan kebolehan wanita untuk menjadi versi baik masing-masing. Tidak kira bidang yang kita ceburi. Lebih dari masyarakat Melayu/Islam, Presiden Halimah juga telah pun membangkitkan aspirasi wanita di Singapura,” jelasnya.
PRIHATIN DENGAN GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK
Selain mempertahankan hak wanita, Presiden Halimah Yacob juga prihatin akan golongan kurang bernasib baik termasuk para pesakit barah.
Sebelum ini, beliau aktif dalam kegiatan Persatuan Ain sebagai penasihat badan itu selama 23 tahun.
Beliau kemudian menjadi penaung persatuan itu pada 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail amat menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan Puan Halimah selama lebih dua dekad.
“Kalau kita ikutkan memang banyak sumbangan beliau terutama sekali kepada Persatuan Ain dan perkembangan Persatuan Ain sehingga hari ini,” kata Encik Md Yusof Ismail.
Beliau juga memuji kepimpinan dan bimbingan Puan Halimah untuk menaik taraf dan mempertingkatkan usaha-usaha badan itu dalam membantu masyarakat.
“Beliau menasihatkan kami untuk lebih fokus kepada program-program yang kami sediakan ataupun khidmat-khidmat kemasyarakatan setempat kami mungkin dan jangan ada duplikasi dengan badan-badan yang lain. Sebab itu kalau kita perhatikan sekarang, Persatuan Ain hanya tumpukan khidmat kemasyarakatan kami untuk menyantuni para pesakit barah dan keluarga mereka dalam melangsungkan kehidupan mereka, kongsi Encik Md Yusof Ismail kepada BERITAMediacorp.
Beliau juga sempat mengimbas kembali kenangan manis berkerjasama dengan Puan Halimah.
“Apa yang tak boleh dilupakan, bukan hanya saya, semua pesakit barah di bawah naungan Persatuan Ain, anggota kami, mereka tak dapat lupakan kalau datangnya setiap Ramadan. Bulan Ramadan itu Puan Halimah, walaupun jawatan Presiden, tapi beliau lebih senang dan tak pernah, tidak sepanjang enam tahun jadi Presiden, tidak satu kali pun beliau terlepas. Dia akan datang menyantuni para pesakit barah,” kata Encik Md Yusof Ismail.
Meski memegang tanggungjawab besar sebagai Presiden, Encik Md Yusof Ismail memuji sifat Puan Halimah yang sering memikirkan tentang kemaslahatan pesakit-pesakit barah bawah naungan Persatuan Ain.
“Di luar jawatan beliau atau tugas beliau sebagai ketua negara, sifat keibuan, sifat keprihatinan dan sifat kasih sayang beliau kepada masyarakat, terutamanya pada orang-orang yang memerlukan ini, begitu ketara sekali,” tambah beliau.
Selain pesakit barah, Presiden Halimah juga giat mendampingi golongan kurang daya intelek dan berusaha mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih inklusif.