Hartini Karyana dinobatkan penerima Anugerah Ibu Tabah, bangkit setelah harungi barah dan perceraian

May 10, 2026

SINGAPURA: Disahkan menghidap barah payudara pada tahun 2016, Cik Hartini Karyana terus bertahan walaupun hidupnya dihimpit dugaan yang tidak putus-putus.

Setelah menjalani rawatan, barahnya berbalik lagi pada tahun 2025.

Di saat kehidupan seakan runtuh satu persatu, beliau tetap bertahan menghadapi setiap dugaan yang datang tanpa henti.

Ibu tunggal kepada seorang anak kecil berusia 3 tahun itu terpaksa meletak jawatan sebagai Pembantu Guru dan pada waktu beliau menjalani rawatan, suaminya telah menceraikannya.

Ia memaksanya untuk mengharungi proses mahkamah yang rumit semasa rawatan barahnya.

Selepas itu, ibunya turut didiagnosis menghidapi barah.

Memilih untuk bangkit semula demi keluarganya, beliau mengikuti pengajian diploma swasta di bawah Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) untuk memperoleh Diploma dalam Kerja Sosial.

Atas semangat kental yang telah dipamerkannya, beliau dianugerahkan Anugerah Ibu Tabah oleh Persatuan Ain tahun ini.

Related article image
Cik Hartini merupakan antara 3 calon akhir. (Gambar: Instagram/AinSociety)

Cik Hartini terpilih daripada tiga calon akhir.

“Kemenangan saya ini adalah untuk menghargai semua ibu di luar sana tidak kira mereka menghidapi barah atau tidak. Ia sebagai kemenangan dalam kita menjalankan tanggungjawab kita dan tugas kita sebagai seorang ibu kepada anak-anak kita,” kata Cik Hartini.

“Untuk mereka yang sedang berlawan barah. Nasihat saya adalah jangan putus asa. Bangkit setiap hari dan melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan untuk keluarga,” katanya lagi.

Kini, beliau merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda pula dalam bidang kerja sosial.

USAHA PERTINGKATKAN DIRI DALAM KEMAHIRAN MESKIPUN DALAM KEADAAN SUKAR

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Dr Md Yusof Ismail berkata ketiga-tiga finalis tahun ini menunjukkan keinginan untuk memperbaiki keadaan mereka walaupun berada dalam keadaan yang sukar.

“Mereka ini bukan hanya menggalas tugas sebagai seorang ibu, mereka menghidapi barah dan juga yang paling ketara, ketiga-tiga mereka meningkatkan daripada segi kemahiran dan pendidikan masing-masing demi membantu keluarga untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik,” kata Dr Yusof.

Menurutnya, mereka juga wajar dijadikan sebagai inspirasi kepada masyarakat.

“Saya rasa kita semua sepatutnya terinspirasi dengan semangat juang yang tinggi yang telah dipamerkan oleh finalis ini. Mereka bangun, bangkit dan meningkatkan kemahiran dan pendidikan demi untuk menjaga keluarga masing-masing,” kata Dr Yusof.

“Mereka terus melangkah bukan hanya mengikuti rawatan dengan rapi tetapi mereka meningkatkan harga diri, meningkatkan keyakinan diri dan meningkatkan harga diri masing-masing,” tambahnya lagi.

Atas apa yang dilalui oleh Cik Hartini, Dr Yusof juga memuji kekuatan dan ketabahan beliau dalam mengharungi cabarannya.

“Bukan hanya beliau merupakan seorang ibu tunggal, beliau diceraikan oleh suaminya dan beliau sendiri bangun bangkit untuk memperbaiki diri, mempertingkatkan usaha,” kata Dr Yusof.

“Beliau juga mempunyai anak yang kecil yang mana benar-benar bergantung harap, mengharap kasih sayang daripada seorang ibu sedangkan ibu itu sendiri sedang bergelut dengan barah. Jadi kita tengok di sini bahawasanya kasih sayang seorang ibu itu amat besar,” tambahnya lagi.

Related article image
Turut hadir dalam acara tersebut adalah mantan Presiden, Puan Halimah Yacob. (Gambar: Instagram/AinSociety)

Anugerah Ibu Tabah: Piala Cabaran Piala Halimah Yacob telah diperkenalkan pada tahun 2019.

Ia merupakan penghargaan bagi ibu-ibu yang telah menunjukkan ketabahan luar biasa dalam menghadapi barah dan cabaran peribadi.

Tahun ini, acara penyampaian anugerah tersebut telah diadakan di Orchard Hotel pada Sabtu (9 Mei).

Acara tersebut telah diserikan dengan kehadiran mantan Presiden, Puan Halimah Yacob sebagai tetamu terhormat serta menampilkan persembahan oleh Duta Persatuan, Hady Mirza.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.