Ramli Sarip, Khatijah Ibrahim ‘angkat’ konsert amal di Esplanade, demi bantu pesakit barah

April 23, 2018

Lagu Doa Buat Kekasih nyanyian Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim akan menjadi ‘doa’ yang diharap dapat mengutip S$200,000 buat pesakit barah di Singapura.

SINGAPURA: Lagu Doa Buat Kekasih nyanyian Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim akan menjadi ‘doa’ yang diharap dapat mengutip S$200,000 buat pesakit barah di Singapura.

Lagu itu mungkin sudah mencecah 30 tahun, tapi tahun ini ia mahu dijadikan ‘mantera’ yang meniup ke dalam hati para peminat muzik menerusi konsert Doa Buat Kekasih di pentas bertaraf antarabangsa Esplanade pada 17 Oktober ini.

Kalau anda peminat Papa Rock Ramli Sarip, ini konsert kerohanian untuk anda nikmati. Kalau anda peminat Kathy Ibrahim, ini konsertnya untuk anda mengubat rindu dengan suara merdu serta senda guraunya. Kalau anda berminat untuk beramal sambil bernostalgia dengan lagu-lagu duet Ramli Sarip dan Kathy Ibrahim, ini konsertnya yang sepatutnya anda hadiri.

Yang pasti, Singapura bukan satu-satunya destinasi konsert Doa Buat Kekasih ini.

Antara negeri-negeri lain yang akan dijelajahinya termasuklah Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak dan semua hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada usaha menyokong pertubuhan-pertubuhan kebajikan.

PERSATUAN AIN JADI ‘ANAK ANGKAT’ RAMLI & KHATIJAH

Konsert di Singapura adalah anjuran syarikat Rasa Karya Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Ain. Dana yang dikumpulkan hasil penjualan tiket konsert akan didermakan sepenuhnya kepada persatuan itu.

Bagi Ramli Sarip, Persatuan Ain istimewa. Perasaan kagum dan terharu dengan perjuangan murni persatuan itu, mendorong dirinya untuk mengadakan konsert penuh sebagai tanda sokongan beliau.

“Dengan usaha mereka, ketabahan mereka, dengan apa juga yang mereka ada, mereka boleh memberi sedikit sebanyak untuk (membantu) mengurangkan beban. Bukan hanya kepada pesakit, tetapi juga kepada anggota keluarga mereka. Saya rasa apa yang mereka buat sebenarnya sangat murni,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Sebelum ini, Ramli Sarip pernah sekitar empat kali menyertai Projek Kasih, iaitu usaha mengumpul dana bagi membantu para pesakit barah menerusi persembahan para selebriti di saluran Suria.

JANGKA KUTIP SEKITAR S$200,000

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Yusof Ismail, pungutan derma hasil persembahan-persembahan Ramli Sarip dalam Projek Kasih sejauh ini agak memberangsangkan.

Lantaran itu, Encik Yusof berbesar hati apabila Ramli Sarip bersungguh-sungguh mahu membantu pihaknya mengumpul dana menjangkaui Projek Kasih, menerusi sebuah konsert penuh.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyokong pusat sokongan barah yang kedua, yang dijangka dibuka di 9 Haig Road pada hujung tahun ini. Pusat pertama terletak di Eunos Crescent.

Encik Yusof memberitahu BERITAMediacorp, kos membina pusat sokongan baru itu menelan belanja antara S$500,000 dengan S$600,000.

“Melalui konsert ini sahaja, kami berharap dapat mengutip sebanyak S$200,000. Kalau dapat lebih, Alhamdulillah. Menurut apa yang Datuk Ramli cakap kepada saya ‘Saya tak terlampau yakin, tapi saya yakin’,” ujar Encik Yusof.

Pusat sokongan barah yang baru itu nanti dapat menampung keperluan para pesakit barah yang dijangka terus meningkat memandangkan sehingga “37 pesakit didiagnosis dengan penyakit barah setiap hari”, dedah Encik Yusof kepada BERITAMediacorp.

Persatuan Ain bermula dengan hanya lapan pesakit pada hujung tahun 2009. Hari ini ia berkhidmat kepada lebih 800 pesakit, 70 peratus daripadanya terdiri daripada pesakit Melayu/Islam.

“KEHIDUPAN MESTI DITERUSKAN”

Mengulas tentang lagu Doa Buat Kekasih, Ramli Sarip berkata ia bersifat universal,
bertemakan kehidupan, kemanusiaan dan kerohanian.

Oleh itu, konsert ulang tahun ke-30 lagu itu merupakan waktu yang tepat untuk mewujudkan kesedaran tentang mereka yang kurang bernasib baik sekaligus untuk saling ingat mengingatkan bahawa “kehidupan perlu diteruskan” meski dilanda ujian.

“Hidup harus terus hidup. Perjalanan ini, perjalanan yang kita pun tidak tahu esok macam mana, tetapi kita harus (teruskan). (Konsert) ini adalah misi kehidupan, kemanusiaan. Jadi kita semua kena terima hakikat ini dan kita hulurkan bantuan.

“Saya diberi kesempatan untuk bekerjasama dengan Persatuan Ain dan apa juga badan. Saya akan berikan yang terbaik. Itu yang saya ada, bakat yang dianugerahkan oleh Allah kepada saya,” kongsinya lagi kepada BERITAMediacorp.

BERTAHAN 30 TAHUN, ADA “MAGIS”

Ramli Sarip menambah lagu Doa Buat Kekasih, tulisan Hartinah Ahmad, mempunyai sentuhan “magis”, kerana ia diterima baik oleh para pendengar dari segenap lapisan usia. Ini juga mungkin menjadi sebab mengapa lagu itu dapat bertahan sehingga 30 tahun lamanya.

“Dalamnya ada bait-bait yang kalau dihayati akan dapat benda itu (sampai ke dalam hati). Ia bukan sekadar hiburan biasa,” jelas beliau.

Penulis lagu Doa Buat Kekasih, Hartinah Ahmad. (Gambar: DoaBuatKekasihtour2018/Instagram)

Meskipun konsert tersebut berbentuk amal, Datuk Ramli Sarip memberi jaminan bahawa mutu konsert tidak akan dipandang remeh dan tetap akan memberikan yang terbaik. Sepanjang konsert sekitar dua jam itu nanti, para peminat boleh menjangkakan “lagu-lagu solo dan duet terbaik Ramli dan Khatijah Ibrahim”. Kedua-dua penyanyi itu mempunyai lebih 20 lagu duet, selain Doa Buat Kekasih.

“Kita harus menghargai orang yang datang menderma. Oleh itu, amat penting untuk memastikan penganjuran konsert ini dilakukan pada tahap yang baik termasuklah dari sudut tata cahaya dan bunyiannya,” kata penyanyi berusia 66 tahun itu.

Apabila ditanya sama ada beliau akan membuat sesuatu yang baru atau memberikan kejutan buat para peminatnya, Ramli Sarip berseloroh penuh puitis: “Mereka kena hadir untuk nikmati kejutan itu. Insya Allah mereka akan tengok benda yang baru. Yang tak kenal akan tahu dan yang tahu akan kenal.”

Konsert ulang tahun ke-30 Doa Buat Kekasih akan diadakan di Dewan Konsert Esplanade Singapura pada 17 Oktober nanti.

Tiket-tiket berharga $255, $205, $175, $155, $125, $105, $85 dan $65 mula dijual pada 1 Mei 2018.   

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.