Pusat Jagaan Barah Persatuan Ain di Eunos akan dikhaskan untuk pesakit barah kanak-kanak

April 16, 2019

Pusat Jagaan Barah di Eunos Crescent, kendalian Persatuan Ain, bakal dijadikan pusat khas bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit barah.

SINGAPURA: Pusat Jagaan Barah di Eunos Crescent, kendalian Persatuan Ain, bakal dijadikan pusat khas bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit barah.

Ini demi menampung jumlah kanak-kanak pesakit barah yang kian meningkat di bawah naungan persatuan itu. Pusat tersebut kini mengendalikan sekitar 100 pesakit barah kanak-kanak.

Demikian dedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Mohd Yusof Ismail, hari ini (16 Apr).

“Perancangan kami, untuk membuka pusat siang hari untuk kanak-kanak pesakit barah ini bersama dengan kami,” kata Encik Yusof.

“Satu, supaya ibu bapa mereka dapat berehat sebentar daripada terus menjaga mereka. Kedua, ialah memberikan peluang untuk ibu bapa mereka atau salah satu ibu bapa mereka keluarga bekerja. Ini untuk membantu menyara kehidupan keluarga.

Pusat jagaan khas bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit barah itu dijangka siap menjelang hujung tahun ini dan bakal menelan belanja sekitar $150,000.

ANTARA PESAKIT BARAH KANAK-KANAK YANG SUDAH DIBANTU

Salah seorang pesakit yang sudah meraih manfaat daripada pusat jagaan Persatuan Ain adalah Shahnaz Shahreen, enam tahun. Dia disahkan menghidap barah otak sejak berusia tiga tahun.

Ibu bapanya, Jazmina Tan dan Shahreen Mohamed Nazir pada awalnya seperti hilang arah tujuan dan tidak tahu ke mana hendak mendapatkan bantuan.

Apabila membaca tentang Persatuan Ain dan khidmat-khidmat yang ditawarkannya, Encik Shahreen agak ragu-ragu dan tidak pasti sama ada anaknya akan diterima di pusat jagaan kendalian persatuan itu.

Namun, kali pertama menjejakkan kaki ke Pusat Jagaan Barah Serenity di Eunos Crescent, beliau dapat merasakan keikhlasan para pegawai yang menyambut mereka seperti keluarga.

“Pegawai Persatuan Ain yang menjemput saya dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan. Kita dapat merasakan keikhlasan mereka untuk menolong dan mendengarkan situasi saya,” Encik Shahreen memberitahu BERITAmediacorp.

Antara bantuan yang dihulurkan kepada anak Encik Shahreen termasuk dari aspek sosial, mental dan kewangan.

“Persatuan Ain membuat saya rasa seperti di rumah, seolah-olah anda pulang ke rumah dengan kasih sayang dan ada yang mendengar dengan ikhlas. Keikhlasan mereka membuatkan setiap kunjungan ke pusat itu begitu menceriakan,” ujar beliau.

PUSAT JAGAAN BARAH SERENITY DIRASMIKAN PRESIDEN HALIMAH

Rancangan merubah fokus Pusat Jagaan Barah di Eunos Crescent itu didedahkan Encik Yusof semasa majlis pembukaan cawangan jagaan barah kedua badan itu, di Haig Rd pagi tadi (16 Apr), dipanggil Pusat Jagaan Barah Serenity.

Pusat Jagaan Barah Serenity terbaru itu menelan belanja $500,000 dan pembukaannya dirasmikan oleh Presiden Halimah Yacob.

Pusat itu direka dengan satu tujuan. Iaitu untuk membuatkan para pengunjungnya berasa selesa, tenang dan seolah-olah berada di rumah sendiri.

Sebaik menjejakkan kaki ke pusat tersebut, sememangnya ia menyuntik perasaan damai, dengan adanya sudut-sudut seperti tembok pelangi, kolam mini dan pancuran air.

usat seluas 424 meter persegi itu juga diharap dimanfaatkan oleh pesakit barah dan keluarga mereka serta juga masyarakat umum.

“Salah satu daripada matlamat kami juga ialah supaya para pesakit barah dapat mengintegrasikan diri mereka kembali ke pangkuan masyarakat, hidup seperti orang lain,” kata Encik Yusof lagi.

CEO Persatuan Ain itu menambah bahawa dengan lebih ramai rakyat Singapura terkena penyakit barah dan jumlahnya meningkat, badan itu berharap dapat menubuhkan lebih banyak lagi pusat-pusat atau pejabat-pejabat satelit di serata negara pada masa depan. 

Success

Your submission has been submitted. An officer will contact you within 3 – 5 working days.